- JBS Kelantan
- Hits: 107
Program Reben Kuning Peringkat Negeri Kelantan 2025 Kukuh Komitmen Bantu Belia Berisiko
- JBS Kelantan
- Hits: 107
Kota Bharu, 14 Julai 2025 – Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan (JBSK) telah menganjurkan Program Reben Kuning Peringkat Negeri Kelantan 2025 bertempat di Seng Hin Rubber Kuala Krai. Program ini bertujuan memperkasakan usaha membantu belia berisiko melalui intervensi sosial yang menyeluruh.
Program ini menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan pemimpin masyarakat dalam usaha menyelaras pendekatan "peluang kedua" bagi memberi sokongan kepada golongan belia yang terdedah kepada gejala sosial dan jenayah. Seramai 10 orang Prospek dari Pusat Reintegrasi Penghuni Kuala Krai telah terpilih dan telah diberi surat tawaran kerja oleh Syarikat Seng Hin Rubber dengan gaji minimum RM1,700.00.Majlis perasmian disempurnakan oleh YBrs. En. Saipuddin bin Zakaria, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan. Dalam ucapannya, beliau menegaskan komitmen JBSK dalam memainkan peranan penting menyantuni belia marginal dan membimbing mereka ke arah pembangunan sahsiah dan kemahiran hidup.
Turut hadir, YDH Penolong Kanan Komisioner Zan Azim bin Aziz, Pengarah Penjara Negeri Kelantan, YBrs. PP Tuan Jaini Ayong Bin Rajawa, Ketua Pusat Reintegrasi Penghuni Kuala Krai, YBrs. Lee Seng Pin Pengurus Besar Seng Hin Rubber, YBrs. Puan Rosnani binti Abdullah Zawawi, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kuala Krai dan Saudara Afiq Aiman, Pengerusi Majlis Belia Jajahan Kuala Krai serta Pegawai – Pegawai Penjara Negeri Kelantan. “Program Reben Kuning bukan sahaja memberi peluang kedua kepada belia, malah menjadi platform untuk mereka membina semula keyakinan diri, kemahiran dan jati diri demi masa depan yang lebih baik,” ujar beliau.
Antara pengisian program termasuklah sesi motivasi bersama ikon belia, ceramah kesedaran jenayah, bengkel kemahiran vokasional, serta aktiviti bimbingan kerjaya. Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif nasional di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk memperkukuhkan jaringan sokongan kepada belia berisiko melalui pendekatan bersepadu antara agensi. Dengan penganjuran program ini, diharap lebih ramai belia di negeri Kelantan mendapat peluang kedua untuk mengubah haluan hidup ke arah yang lebih positif, seterusnya menjadi aset penting kepada masyarakat dan negara.
Disediakan oleh : Urus setia Media Belia Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan