- JBS Kelantan
- Hits: 39
PBSD Bachok Dan PUSPEN Bachok Perkukuh Jalinan Strategik
- JBS Kelantan
- Hits: 39
BACHOK, 1 JULAI 2025 – Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Bachok telah mengadakan kunjungan hormat ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Bachok dalam usaha memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua pihak, khususnya dalam aspek pembangunan belia dan komuniti pemulihan.
Kunjungan yang diketuai oleh Pegawai Belia dan Sukan Daerah Bachok, Puan Azma binti Yahya, disambut mesra oleh Pengarah PUSPEN Bachok, Tuan Haji Rizaridzuan bin Othman bersama barisan pegawai kanan pusat tersebut. Pertemuan ini membuka ruang perbincangan mengenai peluang kolaborasi antara PBSD Bachok dan PUSPEN Bachok yang merangkumi program pembangunan sahsiah, kesukarelawanan, sukan serta aktiviti kesedaran dadah melibatkan penghuni dan alumni PUSPEN.
Menurut Puan Azma, kunjungan ini merupakan satu langkah awal ke arah memperluaskan lagi jangkauan program pembangunan belia kepada golongan berisiko dan bekas penagih yang dalam proses pemulihan. “Kami percaya melalui pendekatan holistik dan jalinan strategik bersama PUSPEN, intervensi yang lebih berkesan dapat dilaksanakan untuk menyokong pemulihan serta integrasi semula mereka ke dalam masyarakat,” ujar beliau.
Sementara itu, Tuan Haji Rizaridzuan turut menyambut baik cadangan kerjasama tersebut dan menyatakan komitmen pihak PUSPEN dalam menyokong inisiatif belia sihat dan bebas dadah. “Kami amat mengalu-alukan sebarang program yang dapat memberi nilai tambah kepada penghuni PUSPEN, khususnya dalam membina semula keyakinan dan kemahiran kendiri mereka,” katanya.
Pertemuan ini diakhiri dengan sesi lawatan ringkas ke sekitar fasiliti PUSPEN dan pertukaran cenderahati sebagai tanda penghargaan dan sokongan berterusan antara kedua-dua pihak.
#TeamJBSN
#TeamJBSNKelantan
#JBSNBersama
#MalaysiaMADANI