- JBS Kelantan
- Hits: 42
Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara Daerah Pasir Mas Terima Sambutan Memberangsangkan
- JBS Kelantan
- Hits: 42
Pasir Mas, 3 Julai 2025 – Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Daerah Pasir Mas berjaya dilaksanakan dengan lancar serta menerima sambutan yang amat baik daripada pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) di daerah ini.
Persidangan ini dipengerusikan oleh Ketua Jajahan Pasir Mas, YABRs Tuan Haji Shamsul bin Abu Bakar, yang menekankan kepentingan kerjasama erat antara agensi kerajaan dan NGO bagi memacu pembangunan belia setempat. Beliau menyeru agar semua pihak memainkan peranan aktif supaya belia-belia Pasir Mas tidak ketinggalan dari pelbagai aspek pembangunan dan tidak terjerumus dalam gejala sosial yang semakin membimbangkan. Puan Nur Aliaa binti Wan Johan bersama En. Mohd Sarimat bin Salleh dan En. Mohd Faidhi bin Mohd Nor daripada Pejabat Belia dan Sukan Daerah Pasir Mas telah bertungkus lumus dalam memastikan kejayaan persidangan ini.
Lima usul utama telah diketengahkan sepanjang persidangan, meliputi pelbagai keperluan dan cabaran yang dihadapi oleh belia setempat. Antara isu penting yang dibangkitkan termasuk:
- Peningkatan infrastruktur dan kemudahan rekreasi untuk aktiviti belia di kawasan Pasir Mas.
- Penyediaan peluang dan ruang keusahawanan bagi golongan muda, termasuk sokongan latihan dan pemasaran.
- Penambahbaikan akses kepada perkhidmatan perbankan di kawasan luar bandar yang kurang liputan.
- Penekanan terhadap inisiatif pembangunan sahsiah dan kepimpinan belia melalui program komuniti berstruktur.
- Cadangan bagi memperkukuh kerjasama antara agensi tempatan dan NGO dalam melaksanakan program pembangunan belia yang lebih inklusif.
Persidangan ini menjadi platform penting bagi menyuarakan pandangan belia dan mencorakkan hala tuju pembangunan belia di peringkat daerah. Komitmen semua pihak jelas memperlihatkan kesungguhan ke arah menjadikan Pasir Mas sebagai daerah mesra belia yang progresif.
Disediakan Oleh: Urus Setia Media PBSD Pasir Mas