Persidangan MPBN Gua Musang Sidang 1 Sesi 2025/2026: Belia Suarakan Isu Dan Harapan

GUA MUSANG, 2 Julai 2025 – Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Daerah Gua Musang bagi Sidang 1 Sesi 2025/2026 telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Persidangan Dato’ Haji Ismail dan Hassan, Majlis Daerah Gua Musang pada 30 Jun 2025.

Majlis telah dirasmikan oleh Yang Berusaha Encik Budie Dharma bin Azman, Ketua Penolong Ketua Jajahan (Pembangunan) Gua Musang, yang dalam ucapannya menekankan pentingnya keterlibatan belia dalam pembangunan daerah secara menyeluruh dan berkesan. Kehadiran tokoh-tokoh utama daerah turut menyerikan majlis, termasuk Yang Berhormat Mohd Azmawi Fikri bin Haji Abdul Ghani, Pengerusi Majlis Belia Jajahan Gua Musang dan Encik Shahbuddin bin Haji Deraman, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Gua Musang, selain ketua-ketua jabatan agensi kerajaan.

Persidangan ini menjadi medan penting bagi wakil-wakil belia menyuarakan isu, cadangan dan harapan yang melibatkan kehidupan anak muda di peringkat akar umbi. Antara isu utama yang dibangkitkan ialah minat belia dalam bidang keusahawanan yang memerlukan sokongan latihan dan akses pembiayaan, keciciran akses terhadap teknologi digital dalam kalangan belia luar bandar, cabaran pemilikan rumah pertama oleh golongan muda, serta kebimbangan berterusan terhadap penyalahgunaan dadah di kawasan pedalaman.
Turut diberi perhatian serius ialah ketiadaan pusat sukan berpusat di Gua Musang yang dilihat sebagai kekangan kepada pembangunan bakat dan gaya hidup sihat belia daerah. Para peserta mencadangkan agar sebuah kemudahan sukan yang lengkap diwujudkan sebagai usaha jangka panjang.

Persidangan ini membuktikan bahawa MPBN kekal sebagai platform penting penyatuan suara belia dengan dasar dan pelaksanaan pihak kerajaan, sekaligus mencerminkan komitmen generasi muda dalam membina masa depan negara yang lebih inklusif dan progresif.

Disediakan oleh: Urus Setia Media Pejabat Belia dan Sukan Daerah Gua Musang

Image

Kompleks Belia dan Sukan Panji
15200 Kota Bharu
Kelantan
Tel : 09-7661200 (Jabatan) / 09-7661300 (KOMBES)
Faks : 09-7642919

Emel: jbsnkelantan@kbs.gov.my
http://www.jbsn.gov.my/jbs-kelantan

Pautan Dalaman

Pautan Luar

Kemaskini Terakhir: 03-10-2025, 12:48:01

Copyright © 2025 JBSN | UPKP, BPM/KBS.

Design & Development By JoomShaper

Search