- JBS Kelantan
- Hits: 43
Abenick Trigano Farm Dengan Ladang Kelulut
- JBS Kelantan
- Hits: 43
PASIR PUTEH, 3 JULAI 2025 – Siapa sangka penemuan satu sarang kelulut di habitat liar sekitar tahun 2016 menjadi titik permulaan kepada tertubuhnya ABENICK Trigona Farm, sebuah ladang ternakan kelulut yang kini semakin dikenali di peringkat negeri dan luar Kelantan.
Diasaskan oleh anak muda Nik Khairul Anuar bin Almuai, atau lebih mesra dikenali sebagai AbeNick, beliau memulakan penternakan kelulut secara kecil-kecilan dengan hanya mensasarkan pengeluaran madu untuk jualan biasa. Namun, semangat dan minat yang mendalam terhadap dunia kelulut mendorong beliau untuk terus belajar dan menjalankan penyelidikan (R&D) sendiri secara berterusan.
Beliau turut berkongsi pengalamannya membezakan pelbagai spesies kelulut yang boleh dan tidak boleh diternak, bergantung kepada kesesuaian kawasan dan iklim setempat. “Saya banyak belajar melalui pemerhatian dan pengalaman sendiri. Ini bidang terjun yang akhirnya menjadi minat dan sumber rezeki saya,” ujar beliau.
Kemuncak permintaan terhadap madu kelulut yang diusahakannya berlaku semasa pandemik COVID-19, apabila ramai masyarakat mula mencari produk asli berasaskan semula jadi untuk kesihatan. Madu ABENICK Trigona Farm mendapat sambutan tinggi kerana kualitinya yang tulen.
Menjelang tahun 2022, Abenick melangkah lebih jauh dengan mula membekalkan sarang kelulut kepada agensi kerajaan, FELDA dan individu di pelbagai negeri yang berminat memulakan ladang kelulut sendiri. Langkah ini membuka dimensi baharu kepada perniagaannya selain daripada pengeluaran madu. Kini pada tahun 2025, perjalanan beliau dalam dunia kelulut semakin matang. ABENICK Trigona Farm bukan sahaja menjadi pengeluar madu, malah pembekal sarang dan pusat rujukan kepada penternak baharu yang ingin menceburi bidang ini.
Abenick berharap kejayaannya ini dapat menjadi inspirasi kepada golongan muda untuk menceburi bidang agro-ternakan moden, khususnya dalam sektor ternakan lebah kelulut yang semakin mendapat tempat di pasaran tempatan dan luar negara.