- JBS Kelantan
- Hits: 56
Paluan Irama Dikir Akan Bergema Bagi Program Rakan Muzik: Dikir Barat Peringkat Daerah Gua Musang
- JBS Kelantan
- Hits: 56
GUA MUSANG, 26 Jun 2025 – Satu perbincangan strategik telah berlangsung hari ini antara Pejabat Belia dan Sukan Daerah Gua Musang yang diketuai oleh Encik Shahabuddin bin Haji Deraman, Pegawai Belia dan Sukan Daerah, bersama pihak pengurusan Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indra Petra yang diwakili oleh Pengetuanya, Dr. Mazlan bin Setapa.
Perbincangan ini bertujuan untuk merangka pelaksanaan Program Rakan Muzik: Dikir Barat peringkat daerah Gua Musang yang dijadualkan berlangsung dalam masa terdekat. Program ini merupakan salah satu inisiatif di bawah gaya hidup Rakan Muda, yang menekankan kepada pembangunan sahsiah belia melalui minat dan bakat masing-masing, khususnya dalam bidang seni dan muzik.
Rakan Muzik adalah antara elemen utama dalam Rakan Muda yang memberi ruang kepada golongan belia untuk mengekspresikan kreativiti melalui muzik moden dan tradisional, termasuklah persembahan warisan seperti dikir barat.
Encik Shahabuddin dalam ucapannya menyatakan komitmen penuh Pejabat Belia dan Sukan Daerah untuk memperkasa elemen seni tradisional sebagai medium pembangunan jati diri anak muda di daerah ini. “Program seperti ini bukan sahaja memartabatkan warisan budaya, malah mampu menjadi platform mencungkil bakat-bakat muda yang berpotensi dalam arena muzik dan persembahan tradisi,” ujar beliau.
Dr. Mazlan bin Setapa turut menyambut baik inisiatif ini dan menyatakan kesediaan pihak sekolah untuk menjadi rakan strategik dalam memastikan kejayaan program berkenaan. Perbincangan hari ini turut merangkumi aspek logistik, penyertaan sekolah-sekolah lain, tarikh pelaksanaan serta penglibatan jurulatih dan penggiat seni dikir barat tempatan.
Program Rakan Muzik: Dikir Barat ini dijangka akan mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan belia dan pelajar, selaras dengan usaha memperkukuh penglibatan mereka dalam aktiviti berimpak tinggi yang menyentuh elemen budaya, warisan dan gaya hidup belia masa kini.
Disediakan oleh: Urus Setia Media Pejabat Belia dan Sukan Daerah Gua Musang