SMK Tengku Bendahara Bakal Sertai Kem Belia Peringkat Daerah Gua Musang

GUA MUSANG, 18 Jun 2025 – Pejabat Belia dan Sukan Daerah Gua Musang terus melaksanakan usaha memperkasakan pembangunan belia melalui penganjuran Kem Belia Peringkat Daerah Gua Musang 2025, yang bakal diadakan di Paksu Chalet & Camp Site, Pasir Puteh, Kelantan.

Bagi memastikan kelancaran pelaksanaan program ini, satu sesi perbincangan dan penyelarasan telah diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Bendahara, melibatkan kehadiran En. Muhammad Norfikri bin Norzaki, Penolong Pegawai Belia dan Sukan Daerah Gua Musang dan Puan Nurul Syifa binti Husni, Pembantu Belia dan Sukan Daerah Gua Musang.

Sesi ini bertujuan menyelaraskan kerjasama dan komitmen pihak sekolah dalam penyertaan pelajar serta peranan sebagai rakan strategik program. Beberapa aspek utama turut dibincangkan termasuk pemilihan peserta, persiapan logistik, penglibatan fasilitator dan pelaksanaan modul yang merangkumi elemen pembinaan sahsiah, kepimpinan, ketahanan diri dan semangat kerjasama.

Penganjuran Kem Belia ini diharap dapat memberi impak positif kepada generasi muda khususnya pelajar sekolah menengah, dalam membentuk belia yang berdaya tahan, berdisiplin dan berwawasan. Pihak sekolah menyambut baik inisiatif ini dan menyatakan kesediaan untuk memberi sokongan serta kerjasama sepenuhnya dalam menjayakan program yang dijadualkan berlangsung pada suku ketiga tahun ini.

Kem Belia Daerah Gua Musang merupakan salah satu inisiatif pembangunan sahsiah kendalian Pejabat Belia dan Sukan Daerah yang memberi tumpuan kepada pelajar sekolah sebagai kumpulan sasar utama, dengan objektif membina belia berilmu, berkarakter dan proaktif terhadap pembangunan masyarakat.

Disediakan oleh: Urus Setia Media Pejabat Belia dan Sukan Daerah Gua Musang

Image

Kompleks Belia dan Sukan Panji
15200 Kota Bharu
Kelantan
Tel : 09-7661200 (Jabatan) / 09-7661300 (KOMBES)
Faks : 09-7642919

Emel: jbsnkelantan@kbs.gov.my
http://www.jbsn.gov.my/jbs-kelantan

Pautan Dalaman

Pautan Luar

Kemaskini Terakhir: 03-10-2025, 12:48:01

Copyright © 2025 JBSN | UPKP, BPM/KBS.

Design & Development By JoomShaper

Search