- JBS Kelantan
- Hits: 62
Kejohanan Tenis Terbuka Pasir Puteh Meriah Dengan Penyertaan 10 Pasukan
- JBS Kelantan
- Hits: 62
PASIR PUTEH, 15 JUN 2025 – Kejohanan Tenis Terbuka Pasir Puteh yang dianjurkan oleh Persatuan Tenis Daerah Pasir Puteh telah berlangsung dengan jayanya pada 13 dan 14 Jun 2025 bertempat di Gelanggang Tenis UiTM Machang, Kelantan. Kejohanan ini menyaksikan penyertaan sebanyak 10 pasukan dari pelbagai daerah dengan sokongan peruntukan melalui Dana Sukan Komuniti (DSK).
Kejohanan ini telah dirasmikan oleh Encik Sazli bin Mahmood, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Pasir Puteh. Turut hadir memberikan sokongan ialah Encik Halim Ashgar bin Mohd Hilmi, Presiden Persatuan Tenis Kelantan dan Encik Mohammad Puad bin MohdPauzi, Presiden Persatuan Tenis Daerah Pasir Puteh.
Persaingan sengit sepanjang kejohanan akhirnya menyaksikan pasukan MPKB A dinobatkan sebagai juara setelah menampilkan aksi cemerlang dan konsisten sepanjang pertandingan. Naib johan disandang oleh pasukan MCKK (Machang / Kuala Krai), manakala tempat ketiga diraih oleh pasukan Kuyo (Tanah Merah) dan tempat keempat milik KKM Dream Team.
Menurut Encik Sazli, kejohanan ini dapat mengukuhkan semangat kesukanan dan perpaduan dalam kalangan komuniti. Beliau turut memuji usaha Persatuan Tenis Daerah Pasir Puteh yang komited dalam memperkasa pembangunan sukan tenis di peringkat akar umbi.
Kejohanan ini menjadi bukti bahawa sukan tenis semakin mendapat tempat di hati masyarakat setempat dan wajar terus disokong dan diperkembangkan.