- JBS Kelantan
- Hits: 57
Semarak Hari Belia Negara Peringkat Daerah Tanah Merah Tahun 2025
- JBS Kelantan
- Hits: 57
Tanah Merah, 19 Mei 2025 – SMK Belimbing Tanah Merah menjadi pusat kemeriahan apabila Semarak Hari Belia Negara Peringkat Daerah Tanah Merah 2025 berlangsung dengan penuh semangat, menghimpunkan pelbagai aktiviti bagi memperkasa generasi muda. Program Semarak Hari Belia Negara ini telah berlangsung pada 15 Mei 2025.
Majlis dimulakan dengan sesi senamrobik, menyuntik tenaga dan kesegaran kepada para peserta serta tetamu yang hadir. Seterusnya, suasana bertambah istimewa dengan Pergendangan Gedombak Siam, menyambut kehadiran tetamu jemputan khas dalam nuansa budaya yang penuh tradisi. Dalam usaha memperkukuhkan jatidiri belia, majlis diteruskan dengan Ikrar Belia Malaysia, simbolik kepada komitmen generasi muda dalam menyumbang kepada kemajuan negara.
Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan, termasuk persembahan silat, kelas solekan percuma, serta pertandingan Bola Jaring Shoot, Penalti Shoot, dan Petanque, menguji kemahiran serta kecekapan para peserta. Selain itu, pameran daripada Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) turut menarik perhatian hadirin. Kedai Buku Banggol pula memberikan diskaun 10% kepada pengunjung dalam usaha menggalakkan budaya membaca.
Dunia digital dan permainan tradisional turut menjadi tumpuan dengan penyertaan dalam E-Sport FIFA, Nintendo, Mini Golf, Carrom dan Congkak, menggabungkan elemen moden dan warisan dalam satu pengalaman yang unik. Majlis ini juga meraikan peserta yang mewakili daerah Tanah Merah dalam Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Kelantan 2025, sebagai tanda penghargaan atas usaha mereka dalam membawa nama daerah ke peringkat lebih tinggi.
Kemuncak acara menyaksikan penyampaian sijil kelulusan pendaftaran kelab, serta Anugerah Khas Semarak Hari Belia Negara Tanah Merah yang dianugerahkan kepada Yang Berbahagia Datuk Wan Rakemi Wan Zahari, seorang pemimpin belia yang banyak menyumbang kepada pembangunan generasi belia di Tanah Merah.
Program ini telah dirasmikan oleh YBhg Datuk Wan Rakemi Wan Zahari, selaku Pengerusi Yayasan Mahsari Group, sebagai manifestasi sokongan terhadap inisiatif yang menggalakkan kepimpinan belia ke arah masa depan yang lebih gemilang.
YAKIN BOLEH!!!
Disediakan oleh : Urusetia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tanah Merah