MAJLIS TADARUS DAN KHATAM AL-QURAN PROGRAM EKSPRESI RAKAN MUDA RAMADAN PERINGKAT DAERAH TUMPAT

TUMPAT, 27 Mac 2025 – Masjid Warisan Kampung Laut, Tumpat bergema dengan alunan ayat suci Al-Quran dalam Majlis Tadarus dan Khatam Al-Quran Program Ekspresi Rakan Muda Ramadan Peringkat Daerah Tumpat yang berlangsung dengan penuh kemeriahan dan keberkatan semalam. Majlis ini bukan sekadar acara simbolik, tetapi juga menjadi wadah menyuburkan kecintaan terhadap Al-Quran serta memperkukuhkan penghayatan Islam dalam kalangan belia Tumpat.

Majlis dimulakan dengan bacaan Al-Quran secara beramai-ramai oleh 80 peserta yang terdiri daripada 4 masjid sekitar Daerah Tumpat. Saat yang dinantikan tiba apabila bacaan doa khatam dipimpin oleh Al-Fadhil Ustaz Muhammad Habibullah Bin Hussian, mencipta suasana penuh syahdu dan keinsafan. Tazkirah ringkas yang disampaikan turut mengingatkan hadirin tentang keutamaan membaca, memahami dan mengamalkan isi kandungan Al-Quran dalam kehidupan seharian.

Seterusnya majlis diteruskan lagi dengan ucapan aluan oleh YABrs Tuan Mohamad Nazwan Bin Ismail, Yang Dipertua Majlis Daerah Tumpat serta ucapan perasmian penutup bagi Program Perkampungan Ramadan dan Program Ekspresi Rakan Muda Ramadan Peringkat Daerah Tumpat daripada YB Dato’ Bentara Kanan, Ustaz Dato’ Haji Ahmad Bin Yakob, ADUN Pasir Pekan. Beliau yang dalam ucapan perasmiannya telah mengucapkan syabas dan tahniah serta harapan kepada peserta-peserta yang diraikan dalam majlis ini agar menghargai kesungguhan mereka dalam menamatkan hafazan dengan berusaha sedaya upaya untuk mengekalkan hafazan 30 juzuk.

Majlis ini juga turut diserikan dengan penyampaian sijil penyertaan dan sumbangan kepada pembimbing tadarus dan peserta-peserta yang terlibat. Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan melalui Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tumpat kekal komited dalam usaha menyemarakkan nilai-nilai Islam dan akan terus menganjurkan program-program berbentuk keagamaan bagi memantapkan keimanan serta memperkukuhkan jati diri belia daerah Tumpat.

Disediakan Oleh : Urus Setia Portal PBSD Tumpat

Image

Kompleks Belia dan Sukan Panji
15200 Kota Bharu
Kelantan
Tel : 09-7661200 (Jabatan) / 09-7661300 (KOMBES)
Faks : 09-7642919

Emel: jbsnkelantan@kbs.gov.my
http://www.jbsn.gov.my/jbs-kelantan

Pautan Dalaman

Pautan Luar

Kemaskini Terakhir: 03-10-2025, 12:48:01

Copyright © 2025 JBSN | UPKP, BPM/KBS.

Design & Development By JoomShaper

Search