SUNGAI PETANI, 30 September 2026 – Program Skill For Life: Kursus Asas Kecantikan Diri telah diadakan pada 26 September 2026 bertempat di Tadika KEMAS Kampung Bukit Kechil Simpor, Sungai Petani, Kedah.
Program yang dilaksanakan menerusi Program Kampung Angkat MADANI ini bertujuan memberikan pendedahan dan kemahiran asas kepada golongan belia setempat dalam bidang kecantikan dan penjagaan diri. Inisiatif ini turut menjadi platform kepada belia untuk mempelajari kemahiran baharu yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan seharian serta berpotensi dikembangkan sebagai kemahiran menjana pendapatan.
Seramai 40 orang belia setempat telah menyertai kursus yang berlangsung dalam suasana yang interaktif dan penuh penglibatan. Para peserta berpeluang mendapatkan pengetahuan serta kemahiran asas berkaitan penjagaan dan kecantikan diri melalui sesi pembelajaran yang disediakan.
Penyampaian sijil kepada para peserta sebagai tanda penghargaan atas komitmen dan penyertaan mereka sepanjang program telah disampaikan oleh Encik Khairull bin Yusoff, Pengerusi Majlis Belia Daerah Kuala Muda.
Pelaksanaan program Skill For Life ini selaras dengan usaha memperkasa golongan belia melalui pendekatan pembangunan kemahiran dan pembelajaran sepanjang hayat. Program seumpama ini diharapkan dapat meningkatkan keyakinan diri, kreativiti serta membuka ruang kepada belia untuk meneroka peluang baharu dalam bidang kemahiran.
