Alor Setar, 8 Mac 2026 – Satu pertemuan strategik dan sesi kunjung hormat telah berlangsung di Wisma Darul Aman yang melibatkan kepimpinan utama sektor belia dan sukan negeri bagi memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kedah.
Pertemuan tersebut melibatkan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah, Puan Azura binti Sarbin bersama EXCO Belia dan Sukan Negeri Kedah, YB. Tuan Haji Muhammad Radhi Bin Haji Mat Din yang membuka ruang kepada perbincangan lebih menyeluruh dalam merangka hala tuju pembangunan belia dan sukan yang lebih tersusun, inklusif dan mampan di negeri ini.
Perbincangan turut memberi penekanan kepada kepentingan sinergi antara agensi di peringkat negeri dan persekutuan dalam memastikan program pembangunan belia dapat dilaksanakan secara berimpak tinggi serta menyokong usaha melahirkan generasi muda yang berdaya saing, berdaya tahan dan berpotensi menjadi pemimpin masa hadapan.
Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Pengarah Majlis Sukan Negeri Kedah, Encik Zulzuraidy bin Othman, bagi membincangkan usaha memperkukuh pembangunan sukan negeri termasuk memastikan sukan PARA terus diberi perhatian sewajarnya agar bergerak seiring dengan pembangunan atlet normal.
Pendekatan inklusif ini dilihat penting bagi memastikan semua atlet diberi peluang dan sokongan yang adil untuk mengharumkan nama negeri di pelbagai peringkat pertandingan.
Pertemuan ini turut menjadi platform penting dalam menyelaraskan perancangan strategik serta memperkukuh jaringan kerjasama antara semua pihak berkepentingan dalam ekosistem pembangunan belia dan sukan di Kedah.
Melalui komitmen dan kesepakatan yang dizahirkan, kerjasama erat antara agensi diyakini mampu memperkasa agenda pembangunan belia dan sukan negeri secara lebih holistik, sekali gus melahirkan generasi muda yang cemerlang, berdaya saing serta mampu mengangkat martabat Kedah di persada nasional dan antarabangsa.
#JBSNK
#teamjbsn
#TeamKBS
#KedahSejahtera
