MAJLIS PENUTUP KEMAHIRAN LATIHAN ASAS SUKAN (KLAS) RENANG KATEGORI WARGA EMAS TAHUN 2025

ALOR SETAR, 14 Disember 2025 - Majlis Penutup Kemahiran Latihan Asas Sukan (KLAS) Renang Kategori Warga Emas anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah telah berlangsung dengan jayanya di Pusat Akuatik Negeri Kedah dalam suasana yang ceria dan penuh bermakna. Program ini merupakan inisiatif berterusan bagi menggalakkan gaya hidup sihat serta meningkatkan tahap kecergasan fizikal dalam kalangan warga emas.

Majlis penutup tersebut telah dirasmikan oleh Puan Salwa binti Senawi, Pemangku Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Puan Nazifah binti Muhamad Zubir, selaku Pegawai Pejabat Belia Dan Sukan Daerah Kota Setar, bersama pegawai-pegawai jabatan serta para peserta program.

Seramai 40 orang peserta warga emas telah mengambil bahagian dalam KLAS renang ini yang telah dijalankan sebanyak enam sesi. Sepanjang program berlangsung, para peserta didedahkan dengan teknik asas renang yang selamat dan sesuai mengikut tahap kemampuan masing-masing, di samping penekanan terhadap aspek keselamatan dan kesihatan.

Menurut pihak penganjur, pelaksanaan KLAS renang ini bukan sahaja memberi manfaat dari segi kesihatan fizikal, malah dapat meningkatkan keyakinan diri serta kesejahteraan mental para peserta. Sambutan yang amat menggalakkan membuktikan bahawa aktiviti sukan air mampu menjadi medium yang berkesan untuk memastikan warga emas kekal aktif dan produktif.

Majlis penutup diakhiri dengan penyampaian sijil penyertaan kepada para peserta serta sesi bergambar sebagai kenangan. Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa akan datang demi kesejahteraan warga emas.

 

#jbsnk

#pbsdkotasetar

 

DISEDIAKAN OLEH : PENTADBIR PORTAL, PBSD KOTA SETAR

 

 

Image

Aras 2, Zon A, Wisma Persekutuan
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
Bandar Muadzam Shah, Mukim Anak Bukit
06550 Alor Setar, Kedah

http://www.jbsn.gov.my/jbs-kedah

Pautan Dalaman

Pautan Luar

Kemaskini Terakhir: 03-02-2026, 15:28:53

Copyright © 2026 JBSN | UPKP, BPM/KBS.

Design & Development By JoomShaper

Search