KEJOHANAN TENPIN BOWLING ANTARA KELAB BELIA DAN SUKAN KOTA SETAR 2025

Alor Setar, 25 November 2025 - Kejohanan Tenpin Bowling Antara Kelab Belia dan Sukan Daerah Kota Setar telah berlangsung meriah di Aman Bowl, Aman Central, Alor Setar dengan penyertaan seramai 60 orang daripada pelbagai kelab belia dan sukan dari sekitar daerah Kota Setar. Program tersebut dianjurkan oleh Kelab Belia Masjid Telok Kandis (KBMTK) dan Kelab Mendaki Telok Kandis (KMTK) yang telah menerima Dana Sukan Komuniti (DSK) 

Kejohanan ini bukan sahaja menjadi platform untuk mencungkil bakat baharu dalam sukan boling, malah turut berperanan sebagai medium pengukuhan ukhwah dan kerjasama antara kelab belia dan kelab sukan serta komuniti setempat. 

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Puan Nazifah Binti Muhamad Zubir, Pegawai Pejabat Belia Dan Sukan Kota Setar. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan penglibatan belia dalam aktiviti riadah dan kesukanan sebagai salah satu usaha membentuk sahsiah positif dan gaya hidup sihat.

“Saya amat berbangga dengan komitmen kelab-kelab belia dan sukan di kawasan ini yang sentiasa aktif menganjurkan pelbagai program bermanfaat. Kejohanan seperti ini bukan sahaja memupuk semangat kesukanan, tetapi turut mengeratkan hubungan silaturahim antara komuniti. Diharapkan lebih banyak program seumpama ini dapat dianjurkan pada masa akan datang,” katanya.

Pertandingan menyaksikan aksi sengit antara pasukan apabila para peserta menunjukkan kemahiran dan semangat berpasukan yang tinggi. Keputusan rasmi menyaksikan Kelab Mendaki Telok Kandis 3 meraih tempat ketiga, diikuti oleh Kelab Berkayak Titi Gajah di tempat kedua. Gelaran juara kejohanan pula disandang oleh Kelab Belia Inspirasi Kota Setar yang mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang acara berlangsung.

Pihak penganjur berharap kejohanan ini dapat dijadikan acara tahunan dan terus menyokong penglibatan aktif daripada kelab belia dan kelab sukan dalam aktiviti sukan serta pembangunan sosial di Kota Setar.

 

#rakanmudajbsn

#pbsdkotasetar

Image

Aras 2, Zon A, Wisma Persekutuan
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
Bandar Muadzam Shah, Mukim Anak Bukit
06550 Alor Setar, Kedah

http://www.jbsn.gov.my/jbs-kedah

Pautan Dalaman

Pautan Luar

Kemaskini Terakhir: 03-02-2026, 15:28:53

Copyright © 2026 JBSN | UPKP, BPM/KBS.

Design & Development By JoomShaper

Search