Kuala Lumpur, 2 Disember 2025 – Mesyuarat Kerja Pelan Strategik Kementerian Belia dan Sukan (KBS) 2026-2030 telah berjaya dilaksanakan di Seri Pasific Hotel, Kuala Lumpur dari 30 November hingga 2 Disember 2025. Dalam mesyuarat tersebut, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah diwakili oleh dua pegawai iaitu Encik Mohd Hanaffi bin A. Rahman, Timbalan Pengarah Sukan JBS Kedah, dan Encik Kamarol Azlan bin Abdull Hamid, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kuala Muda.
Mesyuarat tersebut bertujuan untuk menetapkan halatuju serta merangka pelan strategik yang akan membawa impak besar kepada pembangunan belia dan sukan di negara ini untuk tempoh 2026-2030. Sejumlah 40 pegawai dari Jabatan Belia dan Sukan Negeri seluruh Malaysia turut hadir untuk berbincang mengenai perancangan program belia dan sukan yang lebih dinamik dan relevan dengan keperluan semasa. Antara perkara yang dibincangkan adalah Transformasi Program Belia dan Sukan bagi meningkatkan keberkesanan pelaksanaan program serta penggunaan Teknologi Digital dalam perancangan dan pelaksanaan program-program belia dan sukan. Mesyuarat ini memberi peluang kepada para pegawai untuk berkongsi cabaran dan pandangan mereka berdasarkan pengalaman di negeri masing-masing.
Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah berharap bahawa pelan strategik yang dibentuk hasil daripada mesyuarat ini akan memperkukuhkan lagi usaha pembangunan belia dan sukan negeri dalam tahun-tahun akan datang. JBSNK komited untuk menyokong semua program yang memberi manfaat kepada masyarakat belia, dan akan terus bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan untuk merealisasikan pelan ini.
