- APBM Port Dickson
- Hits: 12
Bengkel Bimbingan Dan Pembangunan Portfolio SKM-PPT Tahap 3 Siri 3 Zon Tengah Tahun 2026
- APBM Port Dickson
- Hits: 12
Akademi Pembangunan Belia Malaysia (Kepimpinan) Port Dickson (APBMPD) terus memperkukuh usaha meningkatkan kompetensi dan profesionalisme warga kerja bidang belia menerusi penganjuran Bengkel Bimbingan dan Pembangunan Portfolio Sijil Kemahiran Malaysia melalui kaedah Pengiktirafan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (SKM-PPT) Tahap 3 Siri 4 Zon Tengah Tahun 2026.
Bengkel yang berlangsung selama tiga hari, dari 28 hingga 30 September 2026, bertempat di Institut Kepimpinan dan Pembangunan (ILD) UiTM Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan melibatkan seramai 51 orang calon SKM-PPT bagi bidang Pelaksanaan Kerja Belia Tahap 3.
Program ini turut disokong oleh seramai tujuh (7) orang fasilitator yang memberikan bimbingan secara intensif kepada para calon, khususnya dalam penyusunan dokumen pembuktian serta pemetaan setiap pembuktian berdasarkan keperluan kompetensi yang ditetapkan.
Sepanjang bengkel, para peserta turut mengikuti sesi pra-penilaian dan pembentangan portfolio sebagai persediaan sebelum menjalani proses verifikasi sebenar bersama Pegawai Pengesah Luaran (PPL). Sesi tersebut memberi peluang kepada calon untuk menilai tahap kesediaan masing-masing serta memperkemas portfolio dan dokumen pembuktian yang diperlukan.
Tumpuan utama bengkel turut diberikan kepada pemahaman secara terperinci mengenai Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (National Occupational Skills Standard – NOSS) serta penyediaan pembuktian bagi setiap Competency Unit (CU) dalam bidang Pelaksanaan Kerja Belia berdasarkan sistem MySPIKE v2.
Penganjuran bengkel ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan dalam membantu para calon memperoleh pengiktirafan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) melalui kaedah PPT berdasarkan pengalaman dan kompetensi yang dimiliki.
Selain menjadi platform bimbingan dan persediaan kepada calon, program ini turut mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) bersama APBMPD dalam memperkasa kompetensi, meningkatkan profesionalisme serta membangunkan tenaga kerja yang kompeten dan berkemahiran dalam bidang pembangunan belia.
Bengkel Siri 4 ini turut menjadi siri terakhir bagi pelaksanaan program bimbingan dan pembangunan portfolio SKM-PPT bagi tahun 2026, sekali gus melengkapkan usaha bimbingan kepada calon sebelum mereka melalui proses verifikasi dan penilaian yang ditetapkan
