Program Pro Siri 3 Tahun 2026 Perkasa Kemahiran Pengurusan Program Di Sabah

TAWAU, SABAH | 27 SEPTEMBER 2026 – Keupayaan mengurus program secara terancang, sistematik dan profesional menjadi antara aspek penting dalam memastikan sesuatu program dapat dilaksanakan dengan berkesan serta memberikan impak yang optimum.
Sehubungan itu, Akademi Pembangunan Belia Malaysia (Kepimpinan) Port Dickson, Negeri Sembilan dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Sabah telah menganjurkan Kursus Pengurusan Program (Program Pro!) Siri 3 Tahun 2026 yang berlangsung selama empat hari, bermula 24 hingga 27 September 2026 bertempat di Kompleks Sukan Tawau, Sabah.
Kursus ini melibatkan seramai 45 orang peserta, terdiri daripada 30 peserta lelaki dan 15 peserta perempuan. Pelaksanaan kursus memberi fokus kepada peningkatan kemahiran pengurusan program, khususnya dalam aspek perancangan, strategi pelaksanaan, pengurusan sumber tenaga dan kewangan serta pemerkasaan imej dan kewibawaan pengurus program.
Sepanjang kursus, peserta mengikuti pelbagai pengisian termasuk sesi ceramah dan sesi simulasi pengurusan program. Melalui sesi simulasi, peserta berpeluang mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh dengan merancang dan melaksanakan program secara praktikal, sekali gus menguji keupayaan membuat keputusan, menyelaras sumber serta memastikan pelaksanaan program berjalan dengan teratur dan berkesan.
Majlis Penutupan Kursus Pengurusan Program (Program Pro!) Siri 3 Tahun 2026 telah disempurnakan oleh Datuk Andi Muhammad Suryady bin Bandy, yang turut menyampaikan amanat dan dorongan kepada para peserta agar terus meningkatkan kompetensi serta mengaplikasikan ilmu yang diperoleh dalam pelaksanaan program di lapangan.
Pelaksanaan kursus ini diharapkan dapat menjadi platform berkesan dalam memperkasa kemahiran peserta agar lebih bersedia mengurus program secara profesional dan berimpak. Ilmu serta kemahiran yang diperoleh juga diharapkan dapat diaplikasikan secara berterusan dalam pelaksanaan program belia, sekali gus menyumbang kepada pembangunan belia yang progresif, berdaya saing dan selaras dengan aspirasi pembangunan belia negara.

Image
Akademi Pembangunan Belia Malaysia Port Dickson
d/a Aras 2, Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sembilan
70400 Seremban, Negeri Sembilan

apbm_pd@kbs.gov.my
http://www.jbsn.gov.my/apbm-port-dickson.html

Pautan Dalaman

Pautan Luar

Kemaskini Terakhir: 16-10-2026, 21:41:59

Copyright © 2026 JBSN | UPKP, BPM/KBS.

Design & Development By JoomShaper

Search