home button

Khamis, 17 Disember 2015 10:05

Perutusan Pengarah

Written by
Rate this item
(1 Vote)
 
 
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
 

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera buat anda semua. Selamat datang saya ucapkan ke laman portal Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang.

Apa khabar semuanya? Semoga anda berada dalam keadaan yang terbaik serta cekal menempuh cabaran dalam situasi pandemik yang kian mencabar ini. Terlebih dahulu, saya memanjatkan setinggi-tinggi rasa syukur ke hadrat Illahi kerana dengan limpah kurnia-Nya, kita masih teguh berada di sini sebagai satu bangsa, memegang satu budaya, mempertahankan tanah air tercinta.

Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan jutaan tahniah kepada kontingen Malaysia yang menggalas cabaran di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020. Terima kasih kerana telah berjuang mengharumkan nama Malaysia. Tahniah dan selamat maju jaya juga diucapkan kepada atlet-atlet yang akan bersaing dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020 bermula 24 Ogos hingga 5 September ini. Semangat mereka yang tidak pernah kenal erti putus asa adalah selayaknya untuk kita banggakan.

Sempena Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-64 pada tahun ini, kerajaan telah mengekalkan tema #MalaysiaPrihatin agar kita sama-sama mengamati jiwa kebersamaan dalam memerangi penularan COVID-19 serta menghargai pengorbanan dan semangat kental petugas barisan hadapan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di Malaysia.

Dalam usaha memerangi penularan wabak di negara ini, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bertindak memainkan peranan dalam membantu kelancaran gerak kerja Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dengan pembabitan sukarelawan melalui program Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac).

Besar harapan saya agar seluruh rakyat Malaysia menyambut baik usaha vaksinasi, dan memberikan sokongan sepenuhnya terhadap Program ini dengan mendaftarkan diri melalui aplikasi MySejahtera. Saya juga menyeru anda semua untuk berganding bahu menimbulkan kesedaran masyarakat berkenaan kepentingan vaksinasi bagi mencapai tahap imuniti kelompok di Malaysia. Sebagai rakyat di negara ini, adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk menjaga keselamatan bersama serta membantu negara kita kembali pulih seperti sedia kala.

Akhir kata, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan, dan Selamat Menyambut Hari Malaysia buat anda semua. Saya mengajak anda untuk sentiasa mengamalkan penjagaan SOP yang ditetapkan dalam usaha memutuskan rantaian penularan COVID-19, sekali gus menjamin keselamatan kita semua. Semoga ikhtiar kita membuahkan hasil dalam memerdekakan negara Malaysia daripada jangkitan wabak Novel Coronavirus.

Sekian, terima kasih.

#MalaysiaPrihatin #MalaysiaMenangBersama

 
MU'AZAMIR BIN JILI
Pengarah 
Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang
Read 5255 times Last modified on Isnin, 23 Ogos 2021 16:20