SERDANG, 20 JUN 2021 - Seramai 83 peserta telah berjaya mengikuti Sesi Youth's Escapade Day 2 | Basic Expedition Group 1, Kursus Asas Kembara Kumpulan 1 di anjurkan oleh Pusat Kokurikulum & Pembangunan Universiti Putra Malaysia. Kursus yang dikendalikan secara dalam talian ini berlangsung selama 2 hari bermula 19 hingga 20 Jun 2021.

Tujuan utama kursus ini adalah untuk memenuhi jam kredit pembelajaran disamping perkongsian ilmu oleh para panel jemputan mengenai asas keselamatan dalam kawasan sumber terhad, ikhtiar hidup, penggunaan kompas dan cari arah serta lain-lain. Sasaran peserta kursus lebih tertumpu kepada belia berumur 17 tahun keatas  bagi memenuhi keperluan berdikari, meneroka serta mengenali kebolehan diri.

Majlis Penutup Kursus Asas Kembara ini telah disempurnakan oleh Puan Azura binti Hj Sarbin, Timbalan Ketua Pengarah, Bahagian Pembangunan Rakan Muda. Beliau mengucapkan tahniah kepada ahli jawatankuasa serta pihak penganjur atas dedikasi dan komited dalam menganjurkan kursus ketika kita sedang berusaha menangani wabak Covid-19.

Ujar beliau, sebagai mahasiswa, seharusnya perlu melengkapkan diri dengan personaliti dan ilmu sebagai persediaan menempuh realiti dunia yang pasti akan lebih mencabar. "Kementerian amat mengalukan penglibatan belia khususnya mahasiswa dalam menyertai program anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negara yang berkaitan seperti ini iaitu Kursus Asas Rekreasi Luar Tahap 1,2,3 di peringkat negeri". 

"Sekiranya mahasiswa berminat untuk menganjur atau menyertai program berbentuk Sukan, Belia atau Rakan Muda di peringkat universiti, pihak kementerian sedia membantu melalui Sekretariat Rakan Muda IPT, sebagai usaha memberikan galakan kepada mahasiswa untuk menyertai program dan aktiviti-aktiviti  melibatkan belia".

"Sekiranya ada mahasiswa/mahasiswi yang berminat untuk menyertai program berbentuk kebangsaan, KBS ketika ini merupakan penyelaras kepada sukarelawan MyVac (Bukan Kesihatan) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) diseluruh negara. Penyertaan pelajar IPT amat dialu-alukan dan penyertaan masih lagi terbuka".

"Adalah diharapkan mahasiswa/mahasiswi agar terus menyumbang bakti kepada masyarakat, selain meningkatkan kesedaran usahawan serta meningkatkan ilmu insaniah dan spiritual".


 
 

Oleh: Bahagian Pembangunan Rakan Muda