TELUK INTAN, 8 APRIL 2022 - Bersempena Ramadan Al-Mubarak, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) menganjurkan program Rakan Muda Ramadan.

Program ini merupakan sebuah inisiatif di dalam menyemarakkan Ramadan dengan pelbagai pengisian antaranya Tadarus Al-Quran, Ihya' Ramadan dan sebagainya.

Bagi daerah Hilir Perak, program Rakan Muda Ramadan telah dianjurkan Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Hilir Perak bertempat di Masjid As-Saadah, Kampung Bahagia melibatkan anak muda tempatan dengan bimbingan Jawatankuasa Masjid.

Menurut Ketua Pengarah JBSN, Tuan Mohd Azhari Mohammad, Rakan Muda Ramadan dianjurkan dengan tujuan mengisi Ramadan menerusi pelbagai aktiviti bermanfaat di samping melaksanakan ibadah berpuasa.

"Rakan Muda Ramadan adalah signature program KBS yang dianjurkan secara tahunan di mana bagi edisi 2022, ia akan dilaksanakan di 122 daerah, bahagian dan kawasan di seluruh Malaysia.

"Bagi mana-mana pihak yang berminat menyertai program ini, anda dialu-alukan untuk menghubungi atau terus mengunjungi Pejabat Belia dan Sukan Daerah/ Bahagian/ Kawasan yang berhampiran," tambah beliau.

Ditulis oleh: MEDIA JBSN