9 Januari 2022 | Ahad

Skuad Sukarelawan Pasca Banjir Penjawat Awam Kementerian Belia Dan Sukan meneruskan misi bantuan dengan mengatur gerak 110 orang sukarelawan di Pulau Santap dan Kampung Sum-Sum Hilir. Atur gerak sukarelawan diperkuatkan lagi dengan 2 Unit Back Hoe dan 2 unit Roro Truck. Pada kali ini misi tertumpu kepada kerja-kerja pembersihan selut di kemudahan awam dan pengumpulan sampah serta serpihan runtuhan binaan rumah dan kemudahan awam yang dihanyutkan di sekitar kampung.

Dengan memfokuskan kepada gerak kerja Sweep & Clean di mana sukarelawan telah diaturgerak bermula dari hujung kawasan kampung sehingga ke pintu masuk melibatkan sukarelawan dari Ibu Pejabat Kementerian Belia Dan Sukan, Jabatan Belia Dan Sukan Negara, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang, Majlis Sukan Negara, Pusat Belia Antarabangsa, IKBN Kuala Langat, IKTBN Sepang, IKBN Kuala Perlis, Sukarelawan KBS yang berdaftar untuk Pasca Banjir dan penduduk setempat.

Pada sebelah petang misi diteruskan dengan penghantaran barang bantuan kepada 50 keluarga yang terjejas. Aturgerak diteruskan dengan mobilisasi sukarelawan ke kawasan sama melibatkan pembersihan sisa-sisa kayu balak dan binaan runtuh di sekitar kampung sehingga selesai.