PUTRAJAYA, 11 Februari 2021 – Trend pembelajaran secara tidak formal atau lebih sinonim dengan kaedah pembelajaran di luar bilik darjah kini menjadi tumpuan utama dalam mendidik dan menerapkan nilai-nilai kehidupan bagi setiap diri anak-anak muda kita. Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda atau lebih dikenali dengan singkatan ARPRM juga tidak ketinggalan dalam mengaplikasikan kaedah ini terutama dalam usaha memperkasa potensi segenap segmen khususnya belia.

Gandingan pengetahuan dan pengalaman kini menjadi rencah terbaik dalam usaha meningkatkan keyakinan, ketahanan serta kebolehan setiap anak muda dalam menyelusuri kehidupan yang serba mencabar ketika ini. Perkara tersebut menjadi intipati utama perbincangan di antara YBhg. Dato’ Dr. Hjh. Wasitah binti Hj. Mohd Yusof iaitu Ketua Pengarah, Jabatan Belia dan Sukan Negara merangkap Pengerusi Kebangsaan program ARPRM bersama Mr. John May, Setiausaha Agung, The Duke of Edinburgh’s International Award Foundation (IAF).

Sesi induction call tersebut juga telah melahirkan buah fikiran dalam merealisasikan Malaysia sebagai peneraju modul pembelajaran secara tidak formal buat golongan belia di peringkat antarabangsa. Sesi yang diadakan menerusi panggilan video itu turut membuka ruang perbincangan dalam usaha melestari dan memperkukuh peranan KBS sebagai penaung atau Badan Anugerah Kebangsaan (NAO) khusus bagi program ARPRM serta secara amnya sebagai pemegang taruh utama anugerah ini di peringkat antarabangsa. Selain itu, KBS juga akan terus meningkatkan cabang sinergi dalam usaha untuk menarik minat serta melibatkan lebih ramai pelajar sekolah dan anak muda untuk menyertai program ini.

Oleh: BAHAGIAN PEMBANGUNAN RAKAN MUDA