Menara KBS, 18 Jun 2019 – Bahagian Pembangunan Rakan Muda telah mengadakan program Simulasi Sekolah Rukun Negara pada 14 Jun 2019 yang lalu bertempat di Galeri, Menara KBS, Putrajaya. Seramai 26 peserta dari kalangan pegawai dan kakitangan Kementerian Belia dan Sukan serta agensi telah hadir di program ini.

Program ini dilaksanakan bagi menilai keberkesanan modul-modul yang akan digunapakai dalam program Sekolah Rukun Negara kelak. Program Sekolah Rukun Negara dijangka akan dilaksanakan di setiap negeri pada bulan Julai hingga Ogos 2019.

Objektif utama program Sekolah Rukun Negara adalah bertujuan untuk memberi dan meningkatkan pengetahuan generasi muda bagi mentransformasikan nilai-nilai demokrasi. Mengambil contoh negara-negara barat yang telah maju dalam demokrasi, kepedulian terhadap masa depan mereka diwujudkan melalui program pengintegrasian pendidikan demokrasi ke dalam mata pelajaran sivik (civic education) secara formal di sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Pengisian modul program ini adalah Rukun Negara oleh iLead, Suara Demokrasi Belia oleh Persatuan Pengundi Muda, Klik Dengan Bijak oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Pendidikan Pengundi oleh Akademi Pilihan Raya Malaysia.

Penutupan program telah disempurnakan oleh Encik Abd Aziz Abd Rahman, Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Rakan Muda.