2 Disember 2020, Wilayah Persekutuan Putrajaya. Kini sedang berlangsung di Menara KBS, sesi Penilaian Pertandingan dan Anugerah Sukarelawan Belia Malaysia sempena Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia 2020. Khusus bagi pemilihan Anugerah Sukarelawan, seramai 62 orang calon dari seluruh Malaysia telah menghantar profail untuk dianugerahkan sebagai Sukarelawan Belia Malaysia tahun 2020. Anugerah Sukarelawan Belia Malaysia akan menobatkan seramai 2 orang penerima anugerah, iaitu Sukarelawan Belia Malaysia Lelaki dan Sukarelawan Belia Malaysia Wanita. Masing-masing akan membawa pulang hadiah kemenangan wang tunai berjumlah RM1,500.00. Anugerah ini akan diumum dan disampaikan pada sambutan Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia 2020. Kesemua panel penilai terlibat adalah yang berpengalaman luas dalam bidang kesukarelawanan. Masing-masing mempunyai kelayakan yang setara dengan bidang yang dipertandingkan. Antara nama besar dan dikenali dalam bidang kesukarelawanan yang terlibat ialah Jufitri Johar, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM). Selain Anugerah Sukarelawan Belia Malaysia, Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia 2020 turut mempertaruhkan hadiah kemenangan bagi pertandingan Menulis Esei, Fotografi Dan Video Pendek. Sambutan Hari Kesukarelawan Peringkat Antarabangsa diraikan pada 5 Disember setiap tahun bagi menghargai dan menghayati sumbangan para sukarelawan di seluruh dunia. Di Malaysia ianya juga disambut pada tarikh sama bagi melahirkan kumpulan belia prihatin yang komited untuk berkhidmat dan membantu masyarakat demi kelangsungan kehidupan sejagat tanpa mengambilkira perbezaan bangsa, agama dan negara.