IPOH, 24 APRIL 2022 - Menteri Belia dan Sukan, YB Dato' Seri Ahmad Faizal Dato' Azumu hadir ke kemuncak program Rakan Muda Ramadan Peringkat Negeri Perak 2022.

Majlis Khatam Al-Quran Rakan Muda Ramadan yang diadakan di Masjid Al-Ansar, Meru merupakan kemuncak kepada program Rakan Muda Ramadan yang bertujuan mengimarahkan Ramadan dengan pelbagai pengisian antaranya tadarus, ihya', gotong royong dan sebagainya.

Majlis penutup telah disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Ahmad Faizal Dato’ Azumu, Menteri Belia dan Sukan bertempat di Dewan Azumu Impian Meru.

Menurut Ketua Pengarah JBSN, Tuan Mohd Azhari Mohammad, Rakan Muda Ramadan merupakan program tahunan anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) di mana dianjurkan di 116 daerah, bahagian dan kawasan di seluruh negara.

"Program ini merupakan signature program Rakan Muda setiap kali bulan Ramadan dengan tujuan pengisian kerohanian dalam kalangan masyarakat terutamanya generasi muda.

"Kemuncak kepada program adalah Majlis Khatam Al-Quran Rakan Muda Ramadan Peringkat Negeri di mana ia dianjurkan menerusi 15 Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBS Negeri) di seluruh negara termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Labuan.

"Bagi pihak JBSN dan JBS Negeri, saya ucapkan setinggi ucapan terima kasih kepada YB Dato' Seri Ahmad Faizal yang sentiasa menyokong inisiatif dan usaha yang digerakkan JBSN," ujar beliau.

Program diakhiri dengan majlis berbuka puasa selain bersama-sama menunaikan solat sunat terawih dan moreh.

Ditulis oleh: Media JBSN