PUTRAJAYA, 26 APRIL 2021: Program Rakan Muda Ramadan bagi tahun 2021 sedang berlangsung di seluruh negara anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri dan Pertubuhan Belia peringkat negeri. Program yang meliputi pelbagai aktiviti menarik seperti Klinik al-Fatihah, Tadarus Al-Quran dan Hafazan Surah Lazim. Berkonsepkan secara dalam talian (Virtual), program ini dijangka akan dapat menarik penyertaan sekurang-kurangnya seramai 1500 orang peserta dari kalangan belia seluruh negara.

Program yang bermula 13 April hingga 10 Mei 2021 ini berperanan sebagai salah satu platform untuk anak-anak muda beragama Islam menyerlahkan bakat di samping meningkatkan amalan serta menghayati kelebihan Ramadan di saat negara sedang berjuang mendepani pandemik Covid-19.

Dengan objektif menghidupkan bulan Ramadan dengan pengisian yang bermanfaat, golongan belia disajikan dengan aktiviti seperti membudayakan amalan sunnah serta mengisi jiwa dengan program yang berbentuk kerohanian yang merupakan sebagai satu usaha menghindari gejala sosial dalam kalangan belia.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda: “Setiap amalan anak-anak Adam itu dilipatgandakan, satu kebajikan dilipatgandakan dengan 10 sehingga 700 kali ganda. Allah berfirman: Kecuali puasa, sesungguhnya puasa itu untuk Ku. Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan, kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika ia menjumpai tuhannya. Dan bau mulut orang yang berpuasa di hadapan Allah lebih harum dari wangian misk.” (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim).

Semoga Semangat Ramadan kali ini akan menjadi titik transformasi perubahan positif kepada semua dalam mendepani gejala pandemic Covid-19 yang masih berlum berakhir.

Oleh:
Bahagian Pembangunan Rakan Muda