KUALA LUMPUR, 11 November 2021-Bahagian Pembangunan Rakan Muda dengan kerjasama Social Community Programs Urban Society (Scopurs) telah menganjurkan Kursus Energy Resilience yang berlangsung selama 3 hari 2 malam. Kursus tersebut dilaksanakan pada 9-11 November 2021 (Selasa-Khamis), bertempat di Hotel Premiera, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Kursus ini telah dihadiri seramai 27 orang peserta daripada Jabatan Belia dan Sukan Negara, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan serta wakil daripada Badan Operasi (BO) Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM).

Objektif kursus adalah untuk membentuk keyakinan diri individu dalam menempuh cabaran hidup supaya lebih berdaya tahan dan mampu bangkit setelah diuji dengan pelbagai dugaan terutama dalam era endemik Covid-19. Ia juga bertujuan untuk membina keupayaan dalam menambah baik kawalan kendiri seseorang individu di samping dapat membantu rakan-rakan terdekat yang mengalami kemurungan yang boleh menjejaskan kawalan kendiri mereka.

Pengisian kursus disampaikan sepenuhnya oleh pasukan penceramah daripada Scopurs Malaysia.Antara pengisian adalah mengenai pengertian makna kebangkitan (resilience), bagaimana untuk bangkit daripada masa lampau yang ‘gelap’ dan teknik pernafasan untuk menghilangkan tekanan. Peserta juga diberikan beberapa ujian psikologi untuk mengenal pasti tahap kesihatan mental mereka. Kursus dijalankan dengan beberapa kaedah penyampaian dan lebih bersifat interaktif serta menyeronokkan walaupun ada sesi luahan masalah yang dialami peserta.