Tamadun Islam kaya dengan keseniannya. Antara seni yang menarik dalam tamadun Islam ialah seni tulisan tangan yang turut dikenali sebagai seni khat. Seni khat adalah salah satu seni Islam yang amat disanjungi sejak turun temurun. Ia terus berkembang dalam pelbagai bentuk termasuk di dalam jemputan perkahwinan, reka bentuk tipografi, reka bentuk tulisan tangan asal, logo, seni keagamaan, pengumuman, reka bentuk grafik, ukiran tulisan batu, dan dokumen peringatan. Bagi memastikan seni penulisan khat terus berkembang dan segar khususnya di dalam jiwa anak-anak muda, Jabatan Belia dan Sukan Negara melalui Bahagian Pembangnan Rakan Muda telah mengambil inisiatif menganjurkan pertandingan khat secara atas talian agar anak muda dapat mengembangkan bakat mereka dalam bidang seni penulisan khat. Pertandingan Khat@RakanMuda mula dilaksanakan di peringkat negeri terbuka kepada semua belia Malaysia berumur di antara 15 hingga 30 tahun. Pertandingan di peringkat negeri dianjurkan bermula pada bulan Julai hingga Ogos 2020. Para peserta hanya perlu menghantar hasil karya mereka secara rakaman video kepada Jabatan Belia dan Sukan Negeri masing-masing bergantung kepada lokaliti peserta tersebut. Peserta perlu menulis semula pantun yang disediakan dengan menggunakan Khat Tuluth, Khat Nasakh, Khat Diwani atau Khat Diwani Jali bergantung kepada tahap kreativiti masing-masing. Seramai 3 orang peserta terbaik di peringkat negeri akan mewakili negeri masing-masing untuk bertanding di peringkat Kebangsaan. Pertandingan ini telah berakhir pada 28 Ogos 220 dan mendapat sambutan baik dalam kalangan belia dari seluruh Malaysia dan ternyata Malaysia mempunyai ramai penulis khat yang berbakat. Orang dahulu menanam padi, Kudratnya dikerah sejak berzaman, Belia perlu teguh peribadi, Sanggup mendepani karenah zaman