KUALA LUMPUR, 10 Februari 2021 - Adalah menjadi teras bagi setiap peserta Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda atau lebih dikenali dengan singkatan ARPRM untuk melengkapkan kesemua komponen bagi tujuan pentauliahan. Merujuk kepada hal tersebut, khidmat masyarakat merupakan salah satu komponen wajib yang perlu diterokai oleh mereka ke arah mencapai objektif tersebut. Aktiviti seumpama ini bukanlah sekadar untuk memenuhi syarat dan kriteria pentauliahan, malah ia secara langsung membawa makna yang lebih besar ke arah mengatasi sikap prejudis terhadap golongan yang memerlukan bantuan.

Seramai 4 orang peserta ARPRM pada hari ini telah berpeluang untuk membawa kegembiraan dan kelegaan buat sebilangan besar keluarga yang di mana anak-anak mereka bersekolah di Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK), Chow Kit. Program SEMBAKO KASIH PKP 3.0 yang dilaksanakan pada hari ini merupakan program agihan sumbangan anjuran Angkatan Sukarelawan Asas Sejahtera (ASAS) dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN). Agihan sumbangan berupa barangan dapur seperti beras, telur, tepung, sayur serta pelbagai lagi. Turut hadir ke program ini adalah YB Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

Bagi para peserta, nilai yang diperoleh ini mampu membina personaliti yang lebih progresif dan peka terhadap persekitaran sekeliling. Apa yang mereka lakukan pada hari ini tidak akan tamat begitu sahaja dan mereka bebas melebarkan sayap untuk membantu dan memberi khidmat kepada masyarakat yang memerlukan di luar sana. Secara ringkasnya, ARPRM merupakan program yang dikelolakan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi JBSN yang memberi fokus terhadap penyertaan anak muda berumur 14 hingga 24 tahun. Selain khidmat masyarakat, mereka juga perlu melengkapkan 3 lagi komponen program iaitu penjelajahan lasak, rekreasi fizikal dan kemahiran dengan bimbingan Badan Operasi (BO) untuk ditauliahkan sebagai peserta tahap emas, perak atau gangsa.

Oleh:
BAHAGIAN PEMBANGUNAN RAKAN MUDA