PUTRAJAYA, 26 MAC 2019 – Program MyCorps merupakan salah satu Inisiatif Makmal Transformasi Pembangunan Belia 2010 yang memberi fokus kepada program kesukarelawanan dan kemanusiaan yang bertujuan untuk melahirkan sukarelawan belia yang profesional, berkualiti, berkemahiran, berpengetahuan dan memiliki nilai-nilai kesukarelaan yang tinggi serta mampu berdaya saing di peringkat global. Ianya juga merupakan satu platform untuk memberi pendedahan dan pengalaman kepada peserta yang terlibat kepada komuniti antarabangsa yang memerlukan bantuan dan sokongan dalam konteks pembangunan komuniti, sosio ekonomi, pendidikan, perubatan&kesihatan dan pertanian.

Misi pertama Program MyCorps bagi tahun 2019 akan dilaksanakan di beberapa buah negara Asia Tenggara yang terpilih iaitu Indonesia, Laos, Filipina dan Timor Leste.

Sesi Temu duga dan Pemilihan Peserta Program MyCorps@Asia Tenggara Misi 1/2019 telah dilaksanakan pada 21 hingga 24 Mac 2019 di lima zon iaitu Utara, Tengah, Selatan, Pantai Timur dan Borneo. Seramai 40 orang peserta yang berjaya dipilih akan menyertai program ini mulai bulan April hingga Julai 2019.

Disediakan oleh : Mushairil Azmil bin Sidik