MAJLIS PENYERAHAN PENUGASAN SUKARELAWAN KHIDMAT SOKONGAN MALAYSIA VACCINE SUPPORT VOLUNTEERS (MYVAC) 

PUTRAJAYA, 31 Mac 2021: Telah berlangsungnya Majlis Penyerahan Penugasan Sukarelawan Khidmat Sokongan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac) telah disempurnakan oleh YB Dato' Sri Reezal Merican Naina Merican, Menteri Belia dan Sukan. Turut hadir YB Khairy Jamaluddin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin (JK JAV).

MyVac merupakan inisiatif menyeluruh kerajaan dan masyarakat atau Whole-of-Society Approaches. Ia melibatkan pelbagai Kementerian dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam memastikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan(PICK) mampu dilaksanakan dengan berkesan. "Sejak dilancarkan pada 26 Februari yang lalu, kita telah menerima hampir 8,000 permohonan untuk menyertai sukarelawan MyVac ini. Permohonan berkenaan terdiri daripada golongan belia, Mahasiswa Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan Ahli Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan ia telah melebihi sasaran awal kerajaan iaitu hanya sebanyak 6,000 orang sukarelawan," kata YB Dato' Sri Reezal Merican. "Sukarelawan MyVac ini akan ditugaskan di Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) diseluruh negara. Mereka juga boleh memilih lokasi dan masa mengikut kelapangan masing-masing. Satu sesi latihan secara maya juga akan diberikan kepada sukarelawan yang memenuhi kriteria yang ditetapkan,"tambah beliau. MyVac disokong oleh COVID-19 Immunisation Task Force (CITF) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Persatuan Bulan Sabit Malaysia (PBSM)

Sukarelawan MYVAC merupakan barisan hadapan kedua atau second frontliners yang menyokong pasukan perubatan / klinikal di semua PPV dengan peranan seperti membantu proses pendaftaran dan pengesahan penerima vaksin, membantu pengurusan kelengkapan prasarana serta logistik di setiap PPV agar sentiasa mencukupi, membantu pengurusan komunikasi dengan penerima vaksin dan memberi sokongan psikologi dan stress relievers kepada penerima vaksin di setiap PPV.

Oleh: 
BAHAGIAN PEMBANGUNAN RAKAN MUDA