ALOR GAJAH, 13 APRIL 2022 - Bagi memastikan kerja menaik taraf Kompleks Rakan Muda (KRM) Alor Gajah berjalan mengikut perancangan, Ketua Pengarah JBSN, Tuan Mohd Azhari Mohammad turun padang melawat dan memantau perkembangan projek.

Kompleks yang terletak di Lendu ini sedang dinaik taraf melibatkan beberapa skop kerja merangkumi bangunan, mekanikal dan elektrik.

Menurut Tuan Mohd Azhari, Ibu Pejabat JBSN akan memastikan setiap kerja menaik taraf berjalan dengan lancar serta akan melakukan pemantauan daripada semasa ke semasa.

"Kompleks Rakan Muda Alor Gajah merupakan prasarana yang berada di bawah seliaan JBS Negeri Melaka yang menawarkan pelbagai kemudahan seperti padang sintetik, gelanggang sukan, bilik kuliah dan banyak lagi khusus buat masyarakat.

"Apabila siap kelak, kemudahan dan fasiliti dapat digunakan oleh masyarakat terutamanya komuniti setempat bagi pelaksanaan pelbagai jenis aktiviti pembangunan belia dan sukan," tambah beliau.

Taklimat perkembangan projek telah disampaikan oleh Pengarah JBS Negeri Melaka, Encik Khairul Adri Dato' Rosli.

Ditulis oleh: Media JBSN