14 Januari, Pekan, Pahang: Misi bantuan banjir di Pekan, pahang turut melibatkan PPS Serambi. Perjalanan ke setiap PPS mengambil masa 15 ke 20 minit bergantung kepada keadaan jalan. Di PPS Serambi kebanyakkan penghuninya terdiri daripada warga tua dan kanak-kanak. Keperluan utama di sini adalah barang makanan kering, lampin dewasa dan kanak-kanak serta pakaian. Taklimat kepada sukarelawan disampaikan oleh Tok Empat Abd. Latif Bin Jusoh.

Selesai di PPS Serambi, konvoi menuju ke PPS Sekolah Kebangsaan Temai. Untuk sampai ke PPS ini memerlukan perjalanan selama 1 jam 30 minit disebabkan jalan utama yang ditenggelami air hingga paras pinggang. Konvoi telah dipecahkan kepada 2 kumpulan kerana kenderaan selain daripada pancuan empat roda tidak dapat meneruskan perjalanan disebabkan keadaan jalan yang ditenggelami air yang deras mengalir. 3 buah pancuan empat roda berjaya mengharungi jalan tersebut dalam masa 30 minit untuk sampai ke pusat pengumpulan barang-barang.

Setibanya di sana, sukarelawan perlu menaiki bot selama 10 minit untuk pergi ke PPS tersebut. Disebabkan PPS tersebut terputus hubungan dengan jalan utama dan hujan turun di sebelah petang, sekolah tersebut ditenggelami air hingga tingkat 1 bangunan dan agak sukar untuk air surut dengan cepat. Sukarelawan di sambut oleh Tok Empat Kampung Temai Tengah, Encik Mohd Nizam Bin Hassan. PPS SK Temai yang sepatutnya menempatkan mangsa-mangsa banjir adalah satu-satunya PPS yang ditenggelami banjir di Pekan Pahang ini. Sukarelawan menaiki 3 buah bot dengan membawa pelbagai keperluan harian, pakaian pelbagai saiz, tuala wanita, pakaian dalam serta makanan ringan.

Destinasi terakhir, adalah menziarahi rumah kakitangan IKBN Paloh Hinai yang rosak ditenggelami air sehingga paras bumbung. Untuk sampai ke rumah beliau, sukarelawan perlu menaiki bot menyeberangi Sungai Pahang. Walau bagaimanpun, bot tidak dapat masuk dan turun ke kawasan rumah tersebut disebabkan pokok getah yang menghalang di kiri dan kanan laluan serta ditenggelami air. Penyampaian sumbangan kepada Saudara Mohd Yusri Bin Ibrahim disampaikan dari atas bot sahaja.