5 Disember 2020-Putrajaya, Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia (HKBM) 2020 telah berlangsung dalam suasana berbeza pada tahun ini. Diadakan secara norma baharu melalui atas talian secara langsung, sambutan HKBM 2020 tidak kurang meriahnya apabila majlis diserikan dengan penyampaian ucapan amanat oleh YB Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Menteri Belia dan Sukan yang disiarkan menerusi Facebook KBSMalaysia dan laman Facebook semua agensi Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Pada julung-julung kalinya HKBM 2020 menyaksikan penyampaian Anugerah Sukarelawan Belia diberikan kepada dua anak muda berjiwa besar iaitu Saudari Siti Shazleen binti Shazali dan Saudara Teo Ann Siang. Turut diumum pemenang bagi Pertandingan Fotografi HKBM 2020 iaitu Saudari Nur Iffah binti Mohd Azmin, pemenang Pertandingan Video HKBM 2020, Saudara Johanawi bin Mohd Taha serta Saudari Aervina binti Misron, pemenang Pertandingan Menulis Esei HKBM 2020.

Dalam sambutan HKBM 2020 kali ini, YB Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Timbalan Menteri Belia Sukan turut melancarkan Flag Off dan Majlis Penyerahan Kit Covid-19 kepada sukarelawan dan petugas barisan hadapan. Antara penerimanya adalah Polis DiRaja Malaysia (PDRM), RELA, Angkatan Pertahanan Awam, Majlis Belia Malaysia (MBM) dan alumni Mycorps. Tidak terhenti disitu, sambutan HKBM 2020 diraikan dengan program Rakan Muda Live: Mai Sembang bersama hos Ajak Shiro serta menampilkan Saudara Raja shamri bin Raja Husin, Pengasas Kemanusiaan The 3rd Force dan Saudari Sathiyakumari A/P Poongawanam, Alumni MyCorps dengan tajuk Kesukarelawanan dan Kemanusiaan.

Johanawi Bin Mohd Taha,
Pemenang Pertandingan Video Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia 2020

Teo Ann Siang,
Penerima Anugerah Sukarelawan Lelaki

Siti Shazleen Binti Shazali,
Penerima Anugerah Sukarelawan Wanita

Nur Iffah Binti Mohd Azmin,
Pemenang Pertandingan Fotografi Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia 2020

Aervina Binti Misron,
Pemenang Pertandingan Esei Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia 2020