PUTRAJAYA, 5 JUN 2020 – Pandemik COVID-19 yang melanda dunia termasuklah di Malaysia ketika ini bukanlah satu halangan mutlak bagi kerajaan untuk merangka dan melaksanakan program buat anak muda. Pengaplikasian teknologi digital dijadikan inisiatif terkini seiring dengan arus pemodenan bagi pelaksanaan program seperti Debat Rakan Muda. Pertandingan seumpama ini merupakan antara inisiatif terawal yang diambil oleh Kementerian Belia dan Sukan dalam menyediakan platform buat golongan muda memaksimakan potensi mereka. Debat Rakan Muda merupakan satu pertandingan debat ala parlimen yang melibatkan anak muda berumur 15 hingga 20 tahun. Program ini merupakan anjuran Kementerian Belia dan Sukan melalui Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negara dengan kerjasama Muafakat MARA Malaysia. Matlamat utama pertandingan ini adalah untuk membudayakan perdebatan sebagai kaedah anak muda mengetengahkan idea dengan bernas dan profesional sekaligus membawa dimensi baharu pelaksanaan program secara dalam talian. Telah berlangsung pada 28 hingga 31 Mei yang lepas adalah Debat Rakan Muda kategori Bahasa Melayu yang menampilkan kehebatan 16 pasukan dalam merebut kejuaraan edisi sulung pertandingan tersebut. Kepetahan mereka berhujah dan mempertahankan idea dapat ditonton secara langsung menerusi FB Live di platform Debat Rakan Muda, KBSMalaysia serta Rakan Muda. Apa yang lebih menarik adalah majoriti pasukan bertanding merupakan gabungan peserta dari pelbagai demografi berbeza dari segi latar belakang pendidikan, jantina, bangsa dan lain-lain. Juara sulung Debat Rakan Muda kategori Bahasa Melayu telah dimenangi oleh pasukan Shahnun's n Umi's. Naib johan telah disandang oleh pasukan Ajibun. Manakala, pasukan Citra & Sekolah Sultan Alam Shah menggondol tempat ketiga bersama. Pendebat terbaik telah dimenangi oleh Saudara Irfan bin Sabki dari pasukan Ajibun. Pertandingan akhir yang berlangsung pada 31 Mei telah disempurnakan secara dalam talian oleh YB Senator Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal, Timbalan Menteri Belia dan Sukan. Tahniah diucapkan buat para pemenang. Buat yang tidak berjaya, jangan putus asa, anda semua tetap berbahas dengan bergaya! Jangan lupa untuk terus setia bersama kami bagi menyaksikan kehangatan Debat Rakan Muda kategori Bahasa Inggeris yang akan berlangsung pada 4 hingga 7 Jun ini. Disediakan oleh : Muhammad Shauqi bin Zulkifli