IPOH: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan melaksanakan inisiatif baharu untuk sukarelawan yang dijenamakan sebagai Sukarelawan Belia Nasional (BENA). Menteri, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata peserta akan bertindak sebagai sukarelawan bagi menggerakkan kerja kesukarelawanan pasca bencana serta pengurusan acara dan sukan di peringkat komuntii setempat. "Peserta BENA akan dibimbing dan dilatih secara 'upskilling' dan 'reskilling' bagi membantu usaha KBS dalam pemerkasaan komuniti di peringkat akar umbi," katanya selepas menyampaikan anugerah pada Sambutan Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia 2021 Peringkat Kebangsaan, hari ini. Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed. Ahmad Faizal berkata, buat permulaan pihaknya menyasarkan 10,000 peserta bagi latihan upskilling dan reskilling. Terdahulu, pada majlis itu Ahmad Faizal meyampaikan anugerah Ikon Sukarelawan Lelaki, Wanita dan Anugerah Khas 2021. Fauzi Acho dari Sabah menerima anugerah Ikon Sukarelawan Lelaki dan Puteri Seri Mawar Megat Abdul Rahmani dari Kedah menerima anugerah Sukarelawan Wanita 2021. Nermesh Singh a/l Gurbish Singh dari Perak menerima Anugerah Khas Sukarelawan 2021.

5 Disember 2021 | Ahad

Kredit : Balqis Jazimah Zahari | Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Artikel Penuh : https://www.bharian.com.my/amp/berita/nasional/2021/12/895532/bena-untuk-kerja-sukarelawan