LABUAN, 18 JUN 2022 - Sebanyak 14 pasukan merebut tempat bagi melayakkan diri Kejohanan Badminton Berpasukan Malaysia Sports League 2022 yang dijadualkan Ogos nanti di Kuala Lumpur.

Berlangsung di Dewan Badminton DSBC, perasmian kejohanan telah disempurnakan Ahli Dewan Negara, YB Senator Datuk Haji Bashir bin Haji Alias.

Menurut Pengarah Jabatan Belia dan Sukan WP Labuan, Encik Mohamad Syahffie Japril, kejohanan ini merupakan sebahagian daripada acara sukan yang dipertandingkan di bawah komponen penganjuran Malaysia Sports League.

"Pasukan yang menjuarai kejohanan ini akan mewakili Wilayah Persekutuan Labuan ke peringkat kebangsaan yang dijadualkan Ogos nanti di Kuala Lumpur.

"Semoga penganjuran kejohanan ini juga dapat mencungkil bakat-bakat baharu dari Labuan dan berpotensi untuk meningkatkan prestasi ke peringkat yang lebih tinggi," tambah beliau.

Selain daripada badminton berpasukan, MSL turut mempertandingkan beberapa lagi acara sukan antaranya futsal, bola jaring, bola keranjang 3 X 3 dan sepak takraw.

Ditulis oleh: Media JBSN