home button

Negeri Sembilan

PORT DICKSON, 28 Mei 2022 - Telah berlangsung Kejohanan Sepak Takraw Malaysia Sports League (MSL) Peringkat Daerah Port Dickson 2022 bertempat di Gelanggang Sepak Takraw Kg.Chokra, Port Dickson hari ini. Program ini adalah anjuran Pejabat Belia dan Sukan Daerah Port Dickson dengan kerjasama Kelab Sepak Takraw Palmeiras Port Dickson.

Sebanyak 12 pasukan telah mendaftarcuntuk kejohanan pada kali ini. Kejohanan bermula dari jam 8.00 pagi hingga 3.00 petang. Tempat pertama dimenangi oleh Gemilang C, tempat kedua Gemilang B manakala tempat ke-3 bersama Team Jimah dan Bomba.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh En. Noorulhuda bin Hj Abd Rahman, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Port Dickson. Turut hadir adalah Pengerusi Kelab Sepak Takraw Palmeiras Port Dickson serta AJK Teknikal yang terlibat dalam penganjuran program.

 

Disediakan oleh : Team Media PBSDPD

Disunting oleh : Team Media JBSNS

PORT DICKSON, 28 Mei 2022 - Telah berlangsung Majlis Pentauliahan Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) Kelab Belia Bandar Dataran Segar bertempat di Hotel Ibis, Melaka.

Seramai 14 org peserta telah ditauliahkan pada majlis ini yang terdiri dari ahli Pengakap Kumpulan 33 Daerah Kota, Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Melaka di bawah kelolaan Badan Operasi Kelab Belia Bandar Dataran Segar.

Majlis Perasmian dan penyampaian sijil telah disempurnakan oleh YB Tuan VP. Shanmugam a/l V.Piychay, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Melaka.

Turut hadir En. Mohd Khushairi bin Zainal mewakili Pegawai Belia dan Sukan Daerah Port Dickson, En Goh Cheng Chuan, Pengerusi Kelab Belia Bandar Dataran Segar, En. Thomas Ong Thai Chu, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Melaka dan Ir.Ts Lim Keng Boon Pemimpin Kumpulan 33 Daerah Kota Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Melaka.

 

Disediakan oleh : Team Media PBSDPD

Disunting oleh : Team Media JBSNS

KUALA PILAH, 26 Mei 2022- Telah berlangsung Majlis Undian dan Sesi Taklimat bagi Pengurus- Pengurus Pasukan Sepak Takraw, Kejohanan Sepak Takraw MSL Daerah Kuala Pilah.

Sebanyak 13 pasukan telah berdaftar dan akan bertanding pada kejohanan yang akan berlangsung pada 28 Mei 2022.

Kejohanan ini akan diadakan di Gelanggang Sepak Takraw KRM Kuala Pilah. PBSD Kuala Pilah akan berkerjasama dengan Persatuan Sepak Takraw Daerah Kuala Pilah yang di Pengerusikan oleh Cikgu Nordin dari SMK Senaling. Selamat bertanding kepada semua pasukan yang telah berdaftar.

 

Disediakan oleh : Team Media PBSDKUALAPILAH

Disunting oleh : Team Media JBSNS

SEREMBAN, 24 Mei 2022- Bersempena bulan Syawal, Bulan Kemenangan Umat Islam, Ballroom Kompleks Belia dan Sukan Paroi (KOMBES) menjadi saksi kepada pengukuhan ukhwah persaudaraan di antara kakitangan dan alumni Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan yang berlangsung di dalam satu majlis yang penuh meriah iaitu Majlis Warna Warni Aidilfitri 2022 & Mesyuarat Agung Tahunan Kali Pertama Koperasi Warga Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan Berhad (KOWARIS).

Program ini dianjurkan bersama oleh Koperasi Warga Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan Berhad (KOWARIS), Kelab Warga Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan (WARIS), Jawatankuasa Surau An Nur KOMBES dan mendapat kerjasama, komitmen dan sokongan yang jitu daripada Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan (JBSNS).

Program yang penuh warna-warni ini bermula dengan acara meraikan pegawai-pegawai JBSNS yang telah bertukar keluar berkuatkuasa pada 1 April 2022 yang lalu. Pegawai yang diraikan ialah En. Zulkifly bin Mazlin yang telah bertukar ke Akademi Imigresen Malaysia Port Dickson dan Puan Azroyana Ullmahayu binti Rozin yang bertukar ke Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang.

Seterusnya program bersambung dengan Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kali Pertama KOWARIS dan telah disempurnakan perasmiannya oleh Puan Hartini binti A.Jabbar, Pengarah Cawangan Sosioekonomi, Bahagian Pembangunan Belia, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia. Antara intipati ucapan beliau ialah beliau kagum dengan pengurusan dan halatuju yang telah dibentangkan oleh Pengerusi KOWARIS dan beliau berharap agar pembentangan yang sama dapat diberikan oleh Pengarah JBSNS kepada pihak pengurusan tertinggi Kementerian kerana ujar beliau perkara sebaik ini patut dijadikan contoh dan sama-sama diikuti baik di peringkat Kementerian mahupun di peringkat Jabatan Belia dan Sukan Negeri-negeri yang lain. Turut hadir bersama di dalam majlis ini ialah En. Zul Fadhli bin Abd Aziz, Pengarah JBSNS, Puan Siti Sarah binti Mohd Asri, Wakil Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Negeri Sembilan dan En. Muhammad Ashraf bin Abd Hadi, Pengerusi KOWARIS beserta semua anggota KOWARIS.

Sejurus tamat majlis perasmian, para tetamu telah disajikan dengan jamuan sempena Hari Raya Aidilfitri yang telah disediakan bersama oleh Unit-unit di JBSNS dan Pejabat Belia dan Sukan Daerah-daerah. Antara juadah yang disajikan ialah nasi minyak, nasi impit dan rendang, satay ayam dan daging, laksa Sarawak, mee sizzling, kuih muih dan sebagainya. Jamuan ini lebih indah dan bermakna apabila turut dihadiri oleh bekas-bekas Pengarah dan pegawai yang pernah berkhidmat di JBSNS sebelum ini. Di antara yang sempat menghadirkan diri ialah YBhg. Dato’ Baharuddin bin Jali, En. Mat Nor bin Saad, Puan Salmah binti Abd Aziz dan ramai lagi. Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan atas kesudian para tetamu ke majlis ini.

Pada sebelah petang program disambung lagi dengan bermulanya Mesyuarat Agung Tahunan KOWARIS dan telah dihadiri oleh hampir 60 orang anggotanya. Mesyuarat ini telah dipengerusikan sementara oleh Tn. Haji Noorulhuda bin Abdul Rahman dan turut disertai oleh En. Mohd Syafiq bin Jaapar, Penolong Pengarah Kanan SKM Cawangan Negeri Sembilan. Pelbagai laporan telah dibentangkan oleh barisan Ahli Lembaga KOWARIS dan dipersetujui oleh anggota dan dalam masa yang sama terdapat juga pelbagai isu, cadangan dan penambahbaikkan yang dibincangkan dalam suasana yang penuh harmoni dan kondusif. Terima kasih juga diucapkan kepada Ahli Lembaga KOWARIS yang telah tamat perkhidmatan sebagai ALK dan selamat datang diucapkan kepada Ahli Lembaga KOWARIS yang baru dilantik.

Sekalung penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada tetamu jemputan yang sudi hadir memeriahkan majlis. Tahniah diucapkan kepada semua pihak yang telah memberikan komitmen dan kerjasama yang padu dalam memastikan kelancaran dan kejayaan majlis ini. Semoga kerjasama seumpama ini dapat dilaksanakan lagi di masa akan datang demi sebuah ukhwah persahabatan dan persaudaraan yang kuat dan erat di antara kita semua.

 

Disediakan oleh : Team Media JBSNS

Disunting oleh : Team Media JBSNS