home button

Negeri Sembilan

JEMPOL, 28 Mei 2022- Kejohanan Sepak Takraw Malaysia Sports League (MSL 2022) Peringkat Daerah Jempol bertempat di Dewan KRT Taman Kasih Putera, Bahau.

Program ini adalah anjuran Pejabat Belia dan Sukan Daerah Jempol dengan kerjasama Persatuan Sepak Takraw Daerah Jempol dan Pengurusan KRT Taman Kasih Putera, Bahau yang menguruskan venue kejohanan.

Anggota Pertahanan Awam Daerah Jempol juga turut ditugaskan bagi memastikan program hari ini berjalan lancar.

Seramai 17 pasukan telah menyertai Kejohanan Sepak Takraw MSL 2022 Peringkat Daerah Jempol hari ini yang terdiri daripada pelbagai agensi (IPD, Bomba & PPD) serta NGO's Belia di Daerah Jempol.

Tempat pertama dimenangi oleh Pasukan Ayam Penyet AZ 'C', manakala tempat ke dua milik Pasukan Ayam Penyet AZ 'A' dan tempat ke tiga bersama dimenangi oleh Pasukan Ayam Penyet AZ 'B' dan Ayam Penyet AZ 'D'.

Johan memenangi hadiah tunai sebanyak RM600 berserta medal, manakala tempat ke dua menerima wang tunai sebanyak RM400 dan tempat ke tiga bersama membawa pulang wang tunai sebanyak RM200 setiap pasukan.

Majlis Penyampaian Hadiah telah disempurnakan oleh Encik Mahadir bin Darahi, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Jempol. Hadir sama bagi memeriahkan kejohanan hari ini ialah, Tuan Haji Abdul Halim bin Abu Bakar, Pengerusi Persatuan Sepak Takraw Daerah Jempol.

 

Disediakan oleh : Team Media PBSDJEMPOL

Disunting oleh : Team Media JBSNS

KUALA PILAH, 28 Mei 2022 - Sekitar jam 3.30 petang bertempat di Kompleks Rakan Muda Kuala Pilah telah berlangsungnya Kejohanan Sepak Takraw Malaysia Sports League (MSL) Peringkat Daerah Kuala Pilah 2022 hari ini. Kejohanan ini adalah anjuran bersama Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kuala Pilah dengan kerjasama Persatuan Sepak Takraw Daerah Kuala Pilah.

Sebanyak 13 pasukan telah menyertai kejohanan kali ini. Kejohanan bermula dari jam 9.00 pagi hingga 3.30 petang. Setelah bertanding selama 6 jam keseluruhan, Johan telah dimenangi oleh Pasukan Batang Pilah, Naib Johan telah disandang oleh Team Senaling TC manakala tempat ke-3 bersama Team Senaling TC B dan KRM B.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh En. Mohd Nizam bin Hj. Miun Penolong Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kuala Pilah dengan Diiringi oleh Pengerusi Persatuan Sepak Takraw Daerah Kuala Pilah. Manakala pada sebelah paginya pula, telah berlangsungnya Majlis Perasmian Kejohanan Sepak Takraw MSL Daerah Kuala Pilah. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Tuan Penolong Pegawai Tanah Dan Galian Daerah Kuala Pilah. Turut hadir adalah Pegawai Belia Dan Sukan Daerah Kuala Pilah, Penolong Pegawai Penerangan Daerah Kuala Pilah dan Pengerusi Persatuan Sepak Takraw Daerah Kuala Pilah serta AJK Teknikal yang terlibat dalam penganjuran kejohanan ini.

 

Disediakan oleh : Team Media PBSDKUALAPILAH

Disunting oleh : Team Media JBSNS

SEREMBAN, 28 MEI 2022- Kejohanan Sepak Takraw Malaysia Sports League (MSL) Peringkat Daerah Seremban 2022 telah berlangsung di Arena Sepak Takraw G-Boi, Kampung Bahagia Jiboi.

12 pasukan telah mengambil bahagian berentap di dalam kejohanan ini yang telah bermula jam 8.00 pagi dan tamat pada jam 2.00 petang di mana setiap pasukan telah memperagakan aksi-aksi yang cukup bertenaga. 4 pasukan telah berjaya meloloskan diri ke pusingan separuh akhir iaitu pasukan UiTM C, PSMA, GBOI B dan KAKI FLY.

Pasukan UiTM C dan PSMA terpaksa berpuas hati berkongsi kedudukan ditempat ketiga dan masing-masing membawa pulang hadiah sebanyak RM200. Manakala Johan dan Naib Johan dimenangi oleh pasukan KAKI FLY dan pasukan GBOI B dengan hadiah kemenangan berjumlah RM600 dan RM400.

Majlis Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Encik Mohd Rasdi bin Ahmaddani, Penolong Pegawai Belia dan Sukan Daerah Seremban.

 

Disediakan oleh : Team Media PBSDSEREMBAN

Disunting oleh : Team Media JBSNS

JELEBU, 28 Mei 2022- Kejohanan Sepak Takraw Malaysia Sports League (MSL) Peringkat Daerah Jelebu 2022 telah berlangsung dengan jayanga bertempat di Kompleks Sukan Komuniti (KSK) Simpang Pertang. Program telah dimulakan seawal 9.00 pagi dengan pendaftaran setiap kumpulan, taklimat dan aturcara program serta pembahagian kumpulan perlawanan. Program ini telah menyaksikan perlawanan hebat dari 14 pasukan yang bertanding.

Johan bagi pertandingan ini telah dimenangi oleh pasukan Klawang C, manakala naib johan telah dimenangi oleh pasukan Pasoh 2 seterusnya tempat ke-3 bersama adalah pasukan dari Klawang B dan Klawang D.

Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Puan Nurulhaizan binti Abd Karim Pegawai Belia dan Sukan Daerah Jelebu.

Semoga program ini dapat diteruskan setiap tahun bagi menggalakkan budaya bersukan seterusnya dapat membina budaya hidup yang sihat.

Tahniah diucapkan kepada semua pemenang dan kita jumpa lagi di perlawanan peringkat negeri nanti. Tahniah dan syabas diucapkan.

 

Disediakan oleh : Team Media PBSDJELEBU

Disunting oleh : Team Media JBSNS