home button

Sarawak

BINTULU, 25 MEI 2022 - Mesyuarat Pengurus Pasukan Bahagian Bintulu - Malaysia Sports League (MSL) 2022 Peringkat Negeri Sarawak telah diadakan secara virtual melalui aplikasi Zoom. Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Encik Kigen anak Satong, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Bintulu dengan kehadiran pengurus-pengurus pasukan yang telah melayakkan diri untuk mewakili MSL Bintulu bagi kelima-lima acara sukan yang dipertandingkan di peringkat negeri.

Mesyuarat telah membincangkan tentang perancangan perjalanan, penginapan serta komitmen pasukan bagi menghadapi cabaran seterusnya di peringkat negeri. Secara keseluruhannya, hasil perbincangan yang dijalankan menunujukkan semangat dan kerjasama pasukan yang sangat tinggi daripada setiap pasukan yang bakal mewakili Bahagian Bintulu untuk merebut pingat di Kejohanan MSL Peringkat Negeri yang akan berlangsung bermula 18 Jun sehingga 24 Julai 2022.

Pihak Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Bintulu mendoakan agar semua pasukan yang akan beraksi  di MSL peringkat negeri 2022 nanti akan membawa kemenangan di setiap kejohanan yang dipertandingkan kelak. 

LIMBANG, 25 Mei 2022 - Pegawai dan kakitangan Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Limbang telah menyantuni jemputan Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri dari pihak Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Dan Hal Ehwal Pengguna Cawangan Limbang. Dalam kunjungan tersebut Encik Yaman bin Yahya, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Limbang sempat berbincang dengan Encik Pulnama bin Tarah, Ketua Cawangan KPDNHEP Limbang untuk mengadakan program usahasama di masa akan datang. Diharapkan melalui kunjungan ini, dapat mengeratkan lagi silaturrahim dan juga kerjasama di antara kedua-dua pihak.

Mukah, 25 Mei 2022 – Program sembang santai bersama sukarelawan belia telah diadakan di Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Mukah pada 24 Mei 2022. Kehadiran Pengerusi JKKK Kampung Tellian Laut menyerikan program tersebut dengan perkongsian idea orang muda bersama orang tua. Gabungan orang tua dan anak muda dalam sesuatu organisasi perlu kerana perkongsian idea dan pengalaman kedua-duanya akan menghasilkan satu hasil kerja yang baik.

Selain itu, proses menuntut ilmu di kalangan belia daripada orang tua secara sendirinya akan berlaku dalam sesuatu organisasi kerana mereka akan bekerjasama untuk mencapai matlamat yang sama. Hal ini merupakan satu proses pendidikan kepada belia di samping mendapat ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang yang lain. Program seperti ini mampu menjadi pemangkin kepada belia untuk lebih terbuka pemikiran, tindak tanduk dan kematangan mereka dalam merencana dan membuat keputusan.

Sembang santai seperti ini mampu mendekatkan jiwa golongan belia bersama pejabat seterusnya dapat menyuarakan hasrat dan idea mereka dengan lebih jelas. Hadir bersama dalam program tersebut ialah Encik Mohammad Arbi Bin Rosli, Penolong Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Mukah (Unit Pembangunan Belia).

MAJLIS RAMAH TAMAH AIDILFITRI 1443H/ 2022M DAN HARI BERSAMA PELANGGAN

KUCHING 19 MEI 2022

Pegawai dan kakitangan Pejabat Belia Dan Sukan Bahagian Kuching (PBSB Kch) meluangkan masa memenuhi jemputan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri dan Hari Bersama Pelanggan Tabung Baitulmal, Sarawak pada 19 Mei 2022.

Majlis ini merupakan platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan kemesraan di samping mengwujudkan hubungan baik sebagai rantai jaringan kerja kepada semua agensi kerajaan dan swasta di kalangan semua hadirin yang hadir.

Usaha ini menjadi langkah proaktif  yang diambil bertujuan mendekati golongan anak- anak muda dan masyarakat setempat supaya berminat menyertai program- program pembangunan sosial yang sihat. Beberapa agensi menyertai sambutan ini dengan menyediakan Teratak/ Gerai Raya serta jemputan nyanyian .

Teratak Raya/ Gerai Raya  sebagai satu tarikan yang menjadi simbol keharmonian dan perpaduan masyarakat pelbagai kaum supaya saling hormat menghormati di antara satu sama lain. Juadah Hari Raya Aidilfitri kali ini disajikan dengan pelbagai jenis hidangan seperti nasi briyani ayam, kambing golek , satay ayam dan daging, ketupat, kelupis, lemang, rendang, kari ayam dan daging, ayam pansuh, laksa Sarawak, mee kolok Sarawak dan kuih raya serta pelbagai jenis minuman. Semua pengunjung berpuas hati dan mengucapkan terima kasih kepada pengurusan Tabung Baitulmal kerana berjaya mengadakan himpunan majlis terbuka untuk semua lapisan masyarakat.