Kangar 26 Jun 2022 - Unit Kecergasan Nasional, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis dengan kerjasama Trash Hero Perlis telah mengadakan Program Fresh2Fit Peringkat Negeri Perlis untuk Siri Ketiga bertempat di Dataran Dato’ Sheikh Ahmad, Kangar, Perlis. Program ini turut diadakan bersempena Agenda Nasional Malaysia Sihat anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Perlis. Aktiviti yang dijalankan adalah aktiviti senamrobik dan berjalan kaki di sekitar Dataran Dato’ Sheikh Ahmad. Objektif program ini adalah untuk membudayakan gaya hidup aktif dan sihat melalui aktiviti sukan, kecergasan dan fizikal sambil mengutip sampah dalam kalangan komuniti setempat untuk menjaga kebersihan alam sekitar. Selain itu, ia dapat mengukuhkan perpaduan di kalangan komuniti setempat serta menggalakan amalan memelihara alam sekitar dan meningkatkan tahap kesihatan komuniti setempat. Peserta-peserta yang terlibat adalah dari kalangan ahli Trash Hero Perlis, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Pelajar- pelajar daripada institusi pengajian tinggi seperti UiTM, UniMAP, Kakitangan Agensi-Agensi dari Negeri Perlis serta penduduk setempat. Program ini turut dihadiri oleh Penolong Pengarah Sukan, JBSN Perlis, Encik Fauzi bin Abdullah Saleh dan Ketua Unit Rakan Muda JBSN Perlis, Encik Kamarunzaman bin Abdul Hamid. Pihak Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Trash Hero Perlis di atas kerjasama di dalam menjayakan Program Fresh 2 Fit sebanyak 3 siri ini. Semoga berjumpa lagi. DISEDIAKAN OLEH : ENCIK ALZRIE HELERY TISIN (BAHAGIAN PEMBANGUNAN SUKAN) DISUNTING OLEH : PUAN WAN NOURIEDAH BINTI MEGAT GHAZALI (PENTADBIR PORTAL)