home button

Pahang

KUANTAN, 19 Mei – Persiapan bagi program Malaysia Sports League 2022 (MSL2022) Peringkat Negeri Pahang hangat terasa dengan tinggal hanya beberapa hari lagi bagi daerah-daerah memulakan saingan bagi acara futsal pada 21 dan 22 Mei 2022 akan datang. Pejabat Belia dan Sukan Daerah-Daerah setakat ini begitu sibuk menguruskan pendaftaran pasukan-pasukan yang bakal bertanding. Penyertaan adalah terbuka kepada semua penggiat-penggiat sukan yang berminat melalui penyertaan di peringkat daerah masing-masing. Sila hubungi Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) yang berhampiran bagi mendapatkan maklumat. Lima acara sukan dipertandingkan bagi MSL2022 pada edisi kali ini iaitu acara futsal (lelaki dan wanita), badminton berpasukan, bola keranjang 3on3, sepak takraw dan bola jaring. Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Pahang pada kali ini telah bekerjasama dengan semua persatuan-persatuan sukan peringkat negeri yang terlibat. Adalah diharapkan agar MSL2022 ini dapat berjalan dengan lancar menerusi kerjasama pelbagai pihak yang terlibat.

 

Disediakan oleh:- Nor Dalilah Haji Mohamad Tajuddin & Pentadbir Portal JBS Pahang

KUANTAN, 19 Mei - Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Pahang telah mencalonkan dua orang pegawai iaitu Encik Mohd Yusof Md Said daripada Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kuantan dan Encik Muhamad Syafiq Azman daripada Bahagian Pembangunan Sukan untuk turut serta bagi Bengkel Pendidikan Asas Anti-Doping anjuran Unit Anti-Doping Malaysia (ADAMAS). Bengkel ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan mengenai Pendidikan anti-doping oleh para pegawai Kementerian Belia dan Sukan serta dapat menerapkan pengamalan budaya sukan yang bersih tanpa penggunaan bahan terlarang yang merbahaya kepada kesihatan diri dan masyarakat umumnya dengan mematuhi kod dan peraturan anti-doping serta piawaian antarabangsa semasa. Tahniah kepada yang terpilih. Semoga segala ilmu yang diperolehi dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk mendidik masyarakat khasnya.

 

Disediakan oleh:- Nor Dalilah Haji Mohamad Tajuddin & Pentadbir Portal JBS Pahang

KUANTAN, 19 Mei - Seminar dan ‘Outreach’ Anti-Doping sempena Program Jalinan Ukhwah Ramadhan Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) yang telah diadakan pada 28 April 2022 yang lalu telah berjaya menghimpunkan sebilangan Ahli Jawatankuasa Pendidikan ADAMAS, Ahli Jawatankuasa Pengurusan Keputusan, Ahli Jawatankuasa ‘Therapeutic Exemptions’, Pegawai Kawalan Doping (DCO), ADAMAS ‘Educators’ Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Yayasan Kebajikan Altlet Kebangsaan (YAKEB) dan pegawai-pegawai kanan KBS. Kehadiran Dato’ Jana Santhiran Muniayan, Ketua Setiausaha, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia membuatkan majlis lebih bermakna tambahan lagi beliau sudi mendengar mengenai perkembangan ADAMAS yang terkini. Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Pahang turut memberikan sokongan kepada ADAMAS dengan menyertai beberapa kursus dan bengkel kendalian agensi tersebut serta penyertaan para pegawai bagi tujuan pembangunan karier dan pendedahan isu antarabangsa.

 

Disediakan oleh:- Nor Dalilah Haji Mohamad Tajuddin & Pentadbir Portal JBS Pahang

KUANTAN, 19 Mei - Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Pahang telah memenuhi jemputan Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Gambang pada 14 Mei 2022 yang lalu. JBS Negeri Pahang telah diwakili oleh Puan Nor Dalilah Haji Mohamad Tajuddin. Majlis yang dijalankan pada jam 12.00 tengahari hingga 4.00 petang itu sangat meriah dengan kehadiran keluarga para pelatih yang hadir memenuhi jemputan daripada seluruh pelusuk tanahair. Para tetamu dijamukan dengan hidangan yang lazat disamping menikmati persembahan daripara pelatih. Walaupun cuaca amat terik, namun kehadiran tetamu tetap ramai, meriah dan tidak putus-putus. Terima kasih atas jemputan. Salam Aidilfitri.

 

Disediakan oleh:- Nor Dalilah Haji Mohamad Tajuddin & Pentadbir Portal JBS Pahang