home button

Pahang

KRMSA ROMPIN, 20 Mei – Kerja-kerja naiktaraf dan penyelenggaraan di Kompleks Rakan Muda Sukan Air Rompin (KRMSAR) telah bermula sejak minggu kedua Mei 2022. Pada 13 Mei 2022, Syarikat Zana Bina Sdn Bhd telah menempatkan pasukan kerja yang diketuai oleh Encik Muhamad Fahmi Kamaruddin selaku Penyelia bersama tiga pekerja. Kerja-kerja dimulakan penandaan 30 batang pokok bermasalah untuk proses penebangan. Pokok dalam kategori bermasalah adalah pokok yang terlalu besar, pokok condong berisiko tumbang atau pokok yang sudah tumbang. Ianya turut merangkumi pokok berpenyakit, pokok yang mengganggu pemandangan, pokok yang mengganggu sistem talian elektrik dan komunikasi, akar pokok yang merosakkan struktur bangunan dan pelbagai masalah berkaitan yang lain. Pokok-pokok ini perlu dikenalpasti dan ditanda lebih awal untuk kelancaran kerja-kerja penebangan kelak. Kerja-kerja penandaan pokok ini telah dipantau oleh Encik Zubi Awang, Penolong Jurutera KRMSAR dan dibantu oleh Tuan Syed Zulkifli Syed Mohamad, Pembantu Awam KRMSAR.

 

Disediakan oleh:-Siti Alifah Hamzah, KRMSA Rompin

Disunting oleh:- Nor Dalilah Haji Mohamad Tajuddin & Pentadbir Portal JBS Pahang

KUANTAN, 19 Mei – Instruktur Kecergasan KBSi, Puan Norzahiyah Ismail telah dipilih bagi membantu pelaksanaan Kejohanan Merentas Desa Kali Ke-17 SMK (P) Methodist, Kuantan dalam sesi senamrobik. Program telah dijalankan pada 13 Mei 2022 yang lalu dengan penglibatan seluruh pelajar sekolah tersebut. Sesi senamrobik dijalankan sebelum acara merentas desa bermula pada jam 7.30 pagi. Sesi senamrobik atau pemanasan badan adalah penting sebelum apa-apa acara sukan bermula bagi memastikan kondisi badan telah bersedia untuk bersukan dan dapat meminimumkan kecederaan daripada berlaku. Terpamer keceriaan di wajah para pelajar setelah hampir dua tahun tidak terlibat dalam aktiviti kecergasan. Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Pahang merakamkan ucapan terima kasih di atas kesudian pihak sekolah menjemput instruktur KBSi dalam aktiviti sukan mereka.

 

Disediakan oleh:- Nor Dalilah Haji Mohamad Tajuddin & Pentadbir Portal JBS Pahang

KUANTAN, 19 Mei – Bahagian Pembangunan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Pahang telah menerima kunjungan daripada penggiat-penggiat sukan permotoran pada 18 Mei 2022 yang lalu. Kunjungan adalah bagi membincangkan mengenai Program ‘Satria Day Test & Tune’ yang akan diadakan pada 4 Jun 2022 akan datang. Lokasi pelaksanaan program adalah di Litar Drag, Pekan. Program ini akan dijalankan bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Pahang bersama Agensi Antidadah Daerah Pekan. Objektif penganjuran program ini adalah untuk menarik golongan belia menyertai sukan permotoran di masa yang sama menyebarkan info dan maklumat mengenai bahaya penglibatan dadah dalam kehidupan. Kunjungan juga membuka ruang untuk bertukar-tukar fikiran dan mengambil pandangan yang terbaik dalam aspek keselamatan dan pengurusan penganjuran program. Encik Arthagusliandi Syamsul dan Encik Yuzaisaifulizam Yusof hadir mewakili AADK Daerah Pekan dan Encik Mohd Faimy Rosle wakil operator Litar Drag, Pekan. Encik Mohamad Suhaizan Selamat, Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan dan Puan Nor Dalilah Haji Mohamad Tajuddin, Pegawai Pembangunan dan Penggalakan Sukan I telah mewakili JBS Negeri Pahang dalam kunjungan tersebut.

 

Disediakan oleh:- Nor Dalilah Haji Mohamad Tajuddin & Pentadbir Portal JBS Pahang

KUANTAN, 19 Mei – Bahagian Pembangunan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Pahang telah menerima kunjungan daripada Kelab Ragbi Bukit Ubi Tigers pada 18 Mei 2022 yang lalu. Kunjungan yang membincangan mengenai penganjuran Program Active Aging and Wellness ini telah memperhalusi beberapa perkara dan tindakan yang diperlukan dalam pelaksanaan program berkenaan. Kunjungan ini juga adalah untuk membincangan mengenai dokumen-dokumen kelab yang perlu dihantar kepada Pesuruhjaya Sukan (PJS) dalam usaha melengkapkan Maklumat Yang Kena Beri (MYKB). Kelab ini telah ditubuhkan pada tahun 2019 dan aktif dalam mengadakan latihan bersama ahli-ahli. Hadir dalam kunjungan tersebut mewakili kelab adalah Encik Shaharuddin Hamzah, Presiden dan Encik Sarizein Hashifudin, Setiausaha. Encik Mohamad Suhaizan Selamat, Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan dan Puan Nor Dalilah Haji Mohamad Tajuddin, Pegawai Penyelaras Program hadir mewakili JBS Negeri Pahang dalam kunjungan tersebut.

 

Disediakan oleh:- Nor Dalilah Haji Mohamad Tajuddin & Pentadbir Portal JBS Pahang