SUNGAI RAMBAI, Jasin, 29 Disember – Pejabat Belia dan Sukan Daerah Jasin telah mengumpulkan seramai 25 orang sukarelawan dari kalangan Majlis Gabungan Belia Melaka, Majlis Gabungan Belia Daerah Alor Gajah, Gerakan Belia 4B Malaysia Kawasan Jasin, MAYC Kawasan Jasin bagi Program Skuad Sukarelawan Pasca Banjir Peringkat Daerah Jasin bertempat di Kampung Lanchang, Jasin. Program ini juga turut dibantu oleh beberapa agensi kerajaan iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam, Polis Diraja Malaysia, Pejabat Daerah dan Tanah Jasin, Jabatan Pengairan Sungai, Majlis Perbandaran Jasin, dan SWCorp. Sebanyak 4 buah rumah mangsa banjir terlibat dalam program pasca ini yang mana kerja-kerja pembersihan bermula jam 8.00 pagi dan berakhir jam 1.00 petang. Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka yang diketuai oleh Encik Azmee Amar Azwan Bin Mostapa, Penolong Pengarah Bahagaian Pembangunan Rakan Muda juga telah turun padang bagi memberi sokongan kepada semua sukarelawan yang terlibat untuk membersihkan rumah penduduk setempat yang terkesan dengan banjir tersebut. Turut hadir YBhg. Datuk Mohd Ridhwan Bin Mohd Ali, Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka.