home button

Melaka

MESYUARAT PARA SUKMA 01

 

AYER KEROH, 23 Mei 2022 – Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka melalui Unit Pembangunan Sukan OKU, Bahagian Pembangunan Sukan telah mengadakan Mesyuarat Penyelarasan Kontinjen Para SUKMA Negeri Melaka ke Sukan Para SUKMA 2022, Kuala Lumpur Bil.1/2022 bertempat di Bilik Mesyuarat, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka.
*
Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Timbalan Pengarah, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka, YBrs. Encik Muhammad Abdul Hafidz bin Mohd Amin dan turut hadir bersama ialah Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Melaka, YBrs. Puan Norfazilah binti Abu Samah dan Pengerusi, Persatuan Sukan Orang Kurang Upaya Negeri Melaka (Pesron), Encik Abdul Rahim bin Abdul Kadir serta semua jurulatih dan penggerak sukan para negeri Melaka.
*
Tujuan mesyuarat adalah untuk menyelaraskan penyertaan, persediaan dan persiapan kontinjen para SUKMA Melaka untuk menghadapi temasya sukan tersebut. Seterusnya, agar dapat memperbaiki prestasi dan kedudukan kontinjen negeri Melaka pada edisi kali ini.
*
Penganjuran temasya Sukan Para SUKMA XX yang tertangguh sejak dua tahun lalu berikutan pandemik Covid-19, dijangka bakal dilangsungkan bermula 29 Oktober hingga 6 November 2022 tahun ini di sekitar Lembah Klang/Kuala Lumpur.

#BAHAGIANSUKAN

 
ORIENTERING 2022 01
 
BANDA HILIR, 22 Mei 2022 - Seramai 37 orang peserta terdiri daripada 21 orang lelaki dan 16 orang wanita telah berjaya menamatkan Kursus Asas Orienteering Tahap 1 Peringkat Negeri Melaka Tahun 2022.
 
Kursus selama 2 Hari 1 Malam ini telah dilaksanakan bermula pada 21 & 22 Mei 2022 bertempat di Hotel Seri Costa, Banda Hilir, Melaka merupakan penganjuran Bahagian Pembangunan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka melalui Unit Pembangunan Sukan Rekreasi dengan kerjasama di antara Kelab Sukan dan Rekreasi REDTMA, Persatuan Orienteering Negeri Selangor (PROSEL) dan Persatuan Orienteering Malaysia (PESOM).
 
Pelaksanaan kursus ini bertujuan bagi mendedahkan peserta kepada asas teknik orienteering yang betul disamping melahirkan penggiat sukan orienteering di Negeri Melaka khususnya. Istimewanya kursus kali ini, para peserta perlu menyelesaikan tugasan pandu arah didalam kawasan bandar terutamanya dilokasi bersejarah yang terdapat disekitar kawasan tapak bersejarah Melaka berbanding kebiasaannya dilakukan didalam hutan.
 
Majlis Penutup kursus ini telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka (JBS Melaka); Muhammad Abdul Hafidz bin Mohd Amin mewakili Tuan Pengarah JBS Melaka. Turut hadir bersama, Penolong Pengarah, Bahagian Pembangunan Sukan, JBS Melaka; Mohd Syaiful Fahmi bin Mohd Salleh.
 

MSL 3ON3 JASIN 01

MERLIMAU, 21 Mei 2022 (Sabtu) - Kejohanan Bola Keranjang 3 On 3 Malaysia Sports League (MSL) 2022 Peringkat Daerah Jasin yang bermula seawal jam 8.30 pagi. Seramai 72 orang peserta melibatkan penyertaan 18 pasukan Lelaki dan 6 pasukan Wanita bagi merebut kejuaraan di Peringkat Daerah Jasin.
.
Johan Kategori Pasukan Lelaki dan Wanita akan membawa pulang hadiah wang tunai RM600.00 beserta Medal yang telah dimenangi Pasukan Rex B dan Pasukan 90. Manakala Naib Johan membawa pulang hadiah berjumlah RM400.00 dimenangi oleh Pasukan Y=MX+C dan Trapo Ballers. Bagi pemenang tempat Ketiga Bersama setiap kategori memenangi wang tunai berjumlah RM200.00 disandang oleh Pasukan BoyBoy99 dan MTBC bagi kategori Lelaki dan Pasukan Happy Go Lucky dan Just Play bagi kategori Wanita.
.
Majlis Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Khairul Adri Dato' Rosli, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka. Turut mengiringi Amir Awang, Ketua Unit Sukan Politeknik Merlimau dan Nurul Haida Mohd Ghazali, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Jasin.
.
Pelaksanaan MSL yang bertujuan membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat menerusi gerakan gaya hidup aktif dan sihat di samping mencari bakat baharu. Johan dan Naib Johan bakal beraksi di peringkat Negeri Melaka yang tarikh akan diumumkan kelak.

#PBSDJasjn

BUKIT SERINDIT, 21 Mei 2022 - Berakhir sudah Kejohanan Bola Keranjang 3 x 3 Malaysia Sports League (MSL) 2022 bagi Daerah Melaka Tengah yang telah diadakan di Dewan Bola Keranjang MBMB Bukit Serindit, Melaka. Kejohanan ini telah mendapat sambutan yang amat mengalakkan dengan penyertaan sebanyak 30 pasukan yang terdiri daripada 24 pasukan bagi Kategori Lelaki dan 6 pasukan bagi Kategori Wanita dan telah dikelolakan oleh Persatuan Bola Keranjang Negeri Melaka sebagai teknikal Kejohanan.
.
Pejabat Belia dan Sukan Daerah Melaka Tengah serta Jawatankuasa Pelaksana MSL 2022 Daerah Melaka Tengah mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pasukan yang telah menyertai kejohanan ini. Semua peserta telah menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dan berentap dengan prestasi yang cemerlang.
.
Pasukan 906 Worriors telah dinobatkan sebagai Johan bagi Kategori Lelaki manakala Naib Johan telah disandang oleh Pasukan Initial Dream bagi ketegori lelaki. Bagi Kategori Wanita pula, Pasukan Yok Bin telah dinobatkan sebagai Johan dan Naib Johan telah disandang oleh Pasukan Avengers. Johan setiap kategori akan menerima Hadiah Wang Tunai berjumlah RM 600 beserta Medal, manakala Naib Johan setiap kategori akan menerima Hadiah Wang Tunai berjumlah RM 400. Manakala Tempat Ketiga Bersama pula masing-masing akan membawa pulang Hadiah Wang Tunai berjumlah RM 200.
.
Pasukan yang telah dinobatkan sebagai Johan dan Naib Johan bagi Kategori Lelaki dan Wanita akan mewakili Daerah Melaka Tengah ke Kejohanan Bola Keranjang 3x3 MSL 2022 Peringkat Negeri Melaka yang akan diadakan pada Bulan Jun 2022.
Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh Presiden Persatuan Bola Keranjang Negeri Melaka, YBhg Datuk Wira Tan Kang Yong JP dan Majlis Penyampaian Hadiah telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Belia, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka, En. Muhammad Abdul Hafiz Bin Mohd Amin.
.
Pejabat Belia dan Sukan Daerah Melaka Tengah mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan Kejohanan Bola Keranjang 3x3 MSL 2022 Peringkat Daerah Melaka Tengah.

#PBSDMelakaTengah