HANOI, 17 MEI - Pegawai Rakan Muda Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Syafiq Asyraf Zulkarnain berpeluang untuk mengadakan sesi bual bicara bersama pemenang pingat emas dalam acara Lompat Kijang dalam Laporan Harian Sukan Sea Vietnam 2021 yang disiarkan secara langsung di saluran SUKAN RTM.

Atlet olahraga negara Andre Anura Anuar berjaya merangkul pingat emas dalam acara acara lompat kijang lelaki Sukan SEA ke-31 hari ini.

Kejayaan atlet muda kelahiran Sabah di Stadium Nasional My Dinh itu turut memastikan kem olahraga menepati sasaran lima pingat emas pada temasya kali ini yang juga emas ke-22 Malaysia.

Kejayaan itu sekali gus mengubati kedukaan atlet berumur 22 tahun itu yang sebelum ini gagal menyumbang emas acara lompat jauh serta enam lompatannya dibatalkan.

Andre Anura mencatat sejarah tersendiri dengan emas diraihnya hari ini selepas melakukan 16.51m, lompatan mengatasi catatan terbaik peribadi 16.09m dilakukan di Terbuka Malaysia Mac lepas.

Atlet Filipina Mark Harry Diones Aloto (15.87m) dan wakil tuan rumah Tran Van Dien (15.84m) masing-masing meraih perak dan gangsa manakala seorang lagi atlet negara Brendon Ting Li King (15.48m) menamatkan saingan di tempat ketujuh.