BENUT, 6 Mac 2022 : Selaras dengan perkembangan semasa, Kolej Komuniti Pontian telah melancarkan Satelit@Pontian bagi memberi lebih peluang ilmu pengetahuan kepada masyarakat setempat melalui program Pengajian Seumur Hidup (PSH). Majlis Perasmian Kolej Komuniti Satelit @ Pontian telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri Malaysia di Kompleks Muafakat Sungai Pinggan, Benut, Pontian, Johor Darul Ta’zim. Turut hadir ialah YB Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad, Menteri Besar Johor, dan beberapa tetamu kehormat. Di atas permintaan YAB Menteri Besar Johor, Perdana Menteri akan berbincang dengan Menteri Pengajian Tinggi supaya diwujudkan Kolej Komuniti yang kekal di Benut dan bukan hanya bertaraf Satelit. Ini bagi menambahbaik taraf pendidikan keilmuan di Benut dan memberi lebih peluang pembelajaran kepada masyarakat setempat. Kolej Komuniti yang berteraskan pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukan lagi dianggap sebagai pendidikan kelas dua, tetapi telah mencapai taraf antarabangsa seperti di Jerman, dengan peluang pelajaran hingga ke peringkat Sijil, Diploma dan Universiti. YAB Perdana Menteri juga menyampaikan bantuan kepada kesemua 14 buah Kolej Komuniti Negeri Johor melalui salah satu kursus di setiap kolej tersebut. Majlis ditamatkan dengan Perdana Menteri menyampaikan Sijil Penghargaan kepada wakil Kolej Komuniti atas kerja2 khidmat sosial (CSR) oleh pelajar2 Kolej kepada Masjid2 dan Surau2 yang terpilih, dan lawatan Perdana Menteri serta tetamu kehormat ke pameran kolej dan jabatan daerah Pontian. Disediakan oleh PBSD Pontian