Batu Pahat, 26 April 2022 - Mengambil berkat 10 hari terakhir dalam bulan Ramadan, Program Rakan Muda Ramadan Tahun 2022 Peringkat Daerah Batu Pahat melabuhkan tirainya dengan meraikan para peserta dalam satu Majlis Khatam Al Quran yang diadakan di Surau At Taqwa, SMK Dato Syed Esa.

Majlis dirasmikan oleh Puan Nur Amalina binti Holidi, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Batu Pahat dan turut dihadiri oleh Encik Abdul Malik bin Abdul Kadir, Guru Penolong Kanan (Pentadbiran) SMK Dato Syed Esa, Puan Erni Nurshanisza binti Mohd Markhaza, Pegawai Unit Belia, PBSD Batu Pahat, Encik Halim bin Md Isa, Pegawai Unit Rakan Muda, PBSD Batu Pahat, guru-guru pembimbing dan warga SMK Dato’ Syed Esa.

Seramai 20 orang pelajar telah menjayakan Program Tadarus Al Quran yang berobjektif untuk menerapkan pembudayaan Al Quran dan amalan sunnah sepanjang bulan Ramadan. Para peserta mengambil kesempatan untuk bertadarus setiap hari selepas waktu Asar dan solat sunat tarawih untuk menghabiskan bacaan 30 Juzuk Al Quran.

Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak SMK Dato’ Syed Esa dan guru-guru pembimbing yang berbesar hati untuk bersama menjayakan program ini. Semoga keberkatan Ramadan ini dapat memberikan seribu satu makna dalam kita mengejar cinta Ilahi.

#PBSDBP

#RAKANMUDA

#RAMADAN

Disediakan oleh PBSD Batu Pahat