SEGAMAT,29 SEPTEMBER 2019 - Seramai 40 orang belia Segamat terdiri daripada belia berkerjaya, graduan, mahasiswa, pelajar kolej dan belia setempat telah menyertai Kursus Pengurusan Organisasi (KPO) Tahap 1 Peringkat Daerah Segamat di Taman Negara Johor, Endau - Rompin (Selai) pada 27 - 29 September lalu.

Kursus selama 3 hari itu merangkumi tujuh modul yang ditetapkan oleh Kementerian Belia dan Sukan iaitu Pembentukan Kumpulan, Kepimpinan, Pemimpin dan Pengikut, Visi Komunikasi / MYKD, Penulisan dan Dokumentasi, Cabaran Pasukan, Simulasi Mesyuarat dan Pengurusan Kewangan.

Program tersebut dianjurkan oleh Pejabat Belia dan Sukan Daerah Segamat dengan kerjasama Majlis Belia Daerah Segamat, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Segamat dan Perbadanan Taman Negara Johor Endau Rompin (Selai). Ia mendapat sokongan dan kerjasama penglibatan dari pelbagai pertubuhan belia dalam daerah Segamat di samping Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Segamat dan Kolej Komuniti Segamat 2.

Menurut Encik Maizatul Asrul Mohd Yunus, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Segamat, "Modul - modul ini dirangka dalam usaha Kementerian untuk melahirkan pemimpin pelapis pertubuhan belia menerusi program pembangunan kompentesi kepimpinan yang lebih tinggi."

Pegawai Projek, Encik Mohd Hayadde Hamzani selaku Penolong Pegawai Belia dan Sukan pula merakamkan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak khususnya Jabatan / Agensi Kerajaan, Pertubuhan Belia, Universiti, Kolej dan inidvidu yang telah memberikan kerjasama dalam menjayakan kursus.

Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil telah disempurnakan oleh Puan Hamizah Abu Bakar, Penolong Pegawai Daerah (ADO) Segamat (Pembangunan Masyarakat) selaku wakil rasmi kepada Tuan Pegawai Daerah Segamat.

Sepajang 3 hari 2 malam tersebut, dua orang penceramah berpengalaman dalam pembangunan belia dan organisasi telah bersama iaitu Encik Mohd Shah Ezam dan Encik Armizam Abd Rahim. Para pegawai dari Majlis Belia Daerah Segamat pula bertindak sebagai fasilitator dan urusetia program.

Semasa sesi rumusan, para peserta melahirkan pelbagai pandangan positif mengenai keberkesanan kursus yang diadakan ini. Mereka dapat menimba ilmu baharu yang lebih tersusun dalam usaha untuk membangunkan persatuan dan organisasi masing - masing.

Disediakan Oleh PBSD Segamat