JOHOR BAHRU, 14 JULAI 2020 – YB Datuk Onn Hafiz bin Ghazi, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor telah membuat lawatan ke Johor International Youth Hub atau lebih dikenali sebagai Youth Hub@JB yang terletak di kawasan Hutan Bandar Johor Bahru, Johor. Youth Hub@JB ini dibina oleh Iskandar Regional Development Authority (IRDA) dengan memfokuskan fasiliti sukan ekstrem dan rekreasi di atas tanah seluas 15 ekar. Tujuan pembinaan Hab ini sebagai platform para belia untuk berkumpul serta menggalakkan para belia mengembangkan bakat diri dalam bidang seperti sukan, keusahawanan, kreatif dan seni, kesukarelaan dan lain-lain. Antara fasiliti yang disediakan adalah parkour park, skateboard park, wall climbing, studio, bike trail, pentas kebudayaan dan lain-lain kemudahan yang kebanyakannya dibuka secara percuma kepada pengunjung. Turut hadir ke sesi lawatan ini adalah Encik Khairul Adri bin Rosli, Timbalan Pengarah, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor, En. Herman bin Raban, Ketua Penolong Pegawai Daerah Kluang, Shahrol (Shiro) selaku ikon belia serta krew IRDA dan pengurusan Youth Hub @JB. Disediakan oleh Bahagian Sukan JBS Johor